National Party menang pilihan raya umum New Zealand - Keputusan awal

Bernama
Oktober 14, 2023 21:45 MYT
Chrisopher Luxon (dua dari kiri) dan isteri, Amanda (dua dari kanan) bersama anak-anak mereka, Olivia (kiri) dan Wiliam menyapa penyokong selepas National Party diumumkan memenangi pilihan raya New Zealand pada hari Sabtu. - Gambar AP
WELLINGTON: National Party memenangi pilihan raya umum New Zealand, sekali gus menewaskan Labour Party yang telah memerintah selama enam tahun, menurut keputusan awal pada Ahad (waktu tempatan).
Gabungan parti sayap kanan diketuai National Party memenangi lebih separuh daripada kerusi Parlimen, menyaksikan Christopher Luxon bakal menjadi Perdana Menteri baharu, lapor Xinhua.
"Anda telah mengundi untuk perubahan," kata Luxon.
Berdasarkan pengiraan undi, National Party memenangi 50 daripada 121 kerusi, manakala Labour Party sekadar memperoleh 34 kerusi.
Sebanyak 17 parti politik bertanding dalam pilihan raya itu.
Dengan tiada parti yang memenangi majoriti kerusi, pembentukan kerajaan baharu akan bergantung kepada hasil rundingan antara parti-parti yang terlibat untuk membentuk kerajaan campuran.
Keputusan rasmi pilihan raya dijangka diumumkan pada 3 Nov. - BERNAMA
#National Party #pilihan raya umum New Zealand #Christopher Luxon #PM baharu New Zealand