SINGAPURA: Singapura mungkin berdepan masalah jerebu sekiranya kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia semakin bertambah buruk, kata Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Dalam nasihat terkini yang dimuat naik di laman sesawangnya pada Isnin, NEA memberitahu beberapa titik panas berserta kepulan asap dikesan sebahagian besarnya di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta beberapa kawasan di Kalimantan berikutan cuaca kering berterusan.
"Keadaan cuaca kering ini dijangka berlarutan dalam masa beberapa hari akan datang. Berikutan angin bertiup dari arah tenggara atau barat daya, Singapura berisiko mengalami jerebu sekiranya kebakaran bertambah buruk," katanya.
Agensi itu berkata ia akan terus memantau keadaan secara teliti dan mengeluarkan nasihat jerebu harian sekiranya Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam melepasi tahap tidak sihat.
Sementara itu, NEA memaklumkan fenomena Monsun Barat Daya kini melanda Singapura dan rantau sekitarnya dengan angin dijangka bertiup dari arah tenggara atau barat daya.
Menurut agensi itu, hujan lebat berserta petir secara setempat dalam tempoh singkat dijangka berlaku di beberapa kawasan di pulau berkenaan pada sebelah lewat pagi dan petang pada sesetengah hari.
"Jumlah penerimaan hujan bagi separuh kedua Ogos 2026 diramalkan berada di bawah paras purata di sebahagian besar kawasan pulau berkenaan," katanya.
-- BERNAMA