Skip to main content

Dunia

Negara anggota IEA percepat pelepasan baki 100 juta tong minyak susulan pasaran yang terhad

Negara anggota IEA bersetuju mempercepat pelepasan baki 100 juta tong stok minyak kecemasan, termasuk lebih 20 juta tong diesel, bagi menangani kekangan bekalan global. - Gambar hiasan/REUTERS
Negara anggota IEA bersetuju mempercepat pelepasan baki 100 juta tong stok minyak kecemasan, termasuk lebih 20 juta tong diesel, bagi menangani kekangan bekalan global. - Gambar hiasan/REUTERS

Advertisement

ISTANBUL: Negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Khamis bersetuju untuk mempercepat pelepasan baki kira-kira 100 juta tong stok minyak kecemasan, termasuk lebih 20 juta tong diesel, secepat mungkin berikutan pasaran tenaga global yang terus berdepan kekangan bekalan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Lembaga Pengelola agensi itu berkata penilaian terbaharunya menunjukkan pasaran minyak terus mengalami kekangan bekalan, khususnya diesel, susulan mesyuarat mengenai pasaran dan keselamatan tenaga.

Kira-kira 330 juta tong minyak dilepaskan di bawah tindakan bersama yang dilancarkan pada Mac sebagai tindak balas terhadap krisis di Selat Hormuz.

Jumlah pelepasan keseluruhan akan melebihi komitmen asal sebanyak 400 juta tong memandangkan beberapa negara anggota melepaskan jumlah yang lebih besar daripada yang dijanjikan pada awalnya, manakala negara lain turut berhasrat berbuat demikian, menurut lembaga itu.

Negara anggota bersetuju mengambil segala langkah yang diperlukan untuk menyelesaikan pelepasan baki stok berkenaan dengan segera, selaras dengan keadaan masing-masing, dengan pelan khusus untuk mempercepat proses itu disediakan.

Lembaga itu turut menggalakkan negara anggota yang mempunyai kapasiti pengeluaran minyak dan penapisan supaya meningkatkan bekalan minyak mentah serta produk petroleum bertapis, khususnya diesel, selain menegaskan kepentingan kelancaran aliran perdagangan tenaga secara bebas.

Sambil menegaskan semula komitmen terhadap keselamatan tenaga antarabangsa, negara anggota menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani cabaran pasaran tenaga global, berlandaskan kenyataan Kumpulan Tujuh (G7) pada 2 Okt.

Sekretariat IEA akan memantau perkembangan pelaksanaan langkah itu dan memaklumkan kepada pemimpin G7 serta Lembaga Pengelola mengenai tindakan lanjut yang diperlukan, berdasarkan penilaian terkini pasaran minyak yang memberikan tumpuan kepada diesel.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement