DUNIA
Negara Islam Asia desak tindakan ke atas Israel berhubung serangan ke atas Qatar
Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengecam serangan Israel itu sebagai "keganasan terang-terangan yang melanggar semua norma antarabangsa". - Foto AP
ISTANBUL: Negara Islam Asia pada Isnin mendesak tindakan diambil terhadap Israel berhubung serangan udaranya yang disifatkan "melulu" ke atas ibu negara Qatar serta menuntut keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digantung.
Ringkasan AI
Ketua kerajaan terbabit menyuarakan pendirian itu pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha berikutan serangan minggu lalu, lapor Anadolu Ajansi.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengecam serangan Israel itu sebagai "keganasan terang-terangan yang melanggar semua norma antarabangsa" dengan tujuan untuk "menggagalkan usaha menghentikan genosid di Gaza."
Beliau menuduh Israel menyerang pelbagai negara Arab dan Islam dengan alasan mempertahankan diri, sambil mengkritik sokongan Barat terhadap tindakan Israel. Pezeshkian menegaskan perlunya perpaduan Arab dan Islam menentang Israel dengan menyatakan bahawa "tiada satu pun negara Arab atau Islam yang selamat daripada serangan Israel."
Presiden Maldives Mohamed Muizzu turut mengecam serangan itu dengan menyifatkannya sebagai "pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar" dan "serangan biadap" ke atas maruah seluruh dunia Arab dan Islam.
Beliau menegaskan Qatar, sebagai perantara utama dalam usaha damai Gaza, wajar diberi pengiktirafan bukannya hukuman, dan memberi amaran bahawa dengan menyerang Doha, Israel berusaha "menggagalkan usaha damai serta menggugat kestabilan rantau ini."
Muizzu menggesa pemimpin Israel dipertanggungjawabkan atas jenayah perang melalui langkah politik, ekonomi dan diplomatik yang bersepadu, selain menyeru bantuan kemanusiaan segera dihantar ke Gaza dan Tebing Barat.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pula menggesa PBB menggantung keahlian Israel serta mencadangkan penubuhan pasukan petugas Arab-Islam bagi menangkis "rancangan peluasan kuasa."
"Kempen pembunuhan beramai-ramai Israel telah meratakan Gaza hingga menjadi runtuhan dan kehancuran. Dunia akan sentiasa menanggung parut daripada pertumpahan darah tiada berkesudahan ini yang terukir pada jiwa kemanusiaan. Ketidakadilan sudah sampai ke tahap tidak tertanggung. Ini mesti dihentikan! Dan hentikan sekarang," katanya.
Shehbaz turut menggesa "penubuhan Pasukan Petugas Arab-Islam untuk mengambil langkah berkesan menangkis rancangan peluasan Israel," sambil mengulangi tuntutan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya keahlian Israel dalam PBB digantung.
"Majlis Keselamatan PBB mesti segera menuntut Israel, di bawah Bab VII Piagam PBB, melaksanakan gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan, pembebasan tebusan serta pertukaran tahanan Palestin," tambahnya.
Beliau juga menuntut akses kemanusiaan yang "terjamin, berterusan dan selamat" kepada semua penduduk Gaza yang memerlukan serta perlindungan terhadap petugas bantuan, kakitangan perubatan dan wartawan.
Bangladesh dalam kenyataannya menyifatkan serangan Israel ke atas wilayah berdaulat Qatar sebagai tidak bersebab dan tidak boleh diterima, malah sebagai penghinaan terhadap maruah seluruh umat Islam.
Bangladesh menganggap pencerobohan itu sebahagian daripada tindakan melulu Israel yang terus mengabaikan Piagam PBB, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi PBB, dan menyeru semua anggota OIC mengambil langkah diplomatik, politik dan ekonomi bersepadu untuk menghalang provokasi dan pencerobohan Israel seterusnya.
Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md. Touhid Hossain menghadiri sidang kemuncak luar biasa Arab-Islam di Doha itu.
Menteri Luar Indonesia Sugiono pula berkata isu Palestin "bukan hanya mengenai Palestin, tetapi mengenai kelangsungan negara kita, maruah rakyat kita dan kesucian undang-undang antarabangsa."
"Indonesia percaya bahawa sidang ini bukan sahaja perlu mengeluarkan kecaman bersama terhadap Israel, tetapi juga menggesa Majlis Keselamatan PBB melaksanakan mandatnya dengan mengambil langkah tegas dan segera bagi memastikan akauntabiliti serta mencegah berulangnya serangan," katanya.
"Kita tidak boleh lari daripada punca sebenar iaitu penjajahan haram Israel ke atas Palestin. Bagi Indonesia, jalan ke arah keamanan berkekalan tidak berubah: penubuhan sebuah Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, berdasarkan resolusi PBB yang berkaitan.
"Kami akan terus berdiri teguh bersama Qatar, bersama Palestin, dan bersama semua negara yang menjunjung undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan," tambahnya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini
Ringkasan AI
- Negara Islam Asia mendesak tindakan tegas terhadap Israel selepas serangan udara ke atas Doha, termasuk menggantung keahlian Israel dalam PBB dan menubuhkan pasukan petugas Arab-Islam untuk menangkis peluasan kuasa.
- Pemimpin Iran, Maldives, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia mengecam serangan itu sebagai pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar, menuntut akauntabiliti jenayah perang, gencatan senjata segera, serta akses kemanusiaan selamat ke Gaza.
- Indonesia menegaskan penyelesaian kekal ialah penubuhan Negara Palestin berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, manakala OIC digesa bertindak lebih daripada sekadar kecaman dengan langkah diplomatik, politik dan ekonomi bersepadu.
Ketua kerajaan terbabit menyuarakan pendirian itu pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha berikutan serangan minggu lalu, lapor Anadolu Ajansi.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengecam serangan Israel itu sebagai "keganasan terang-terangan yang melanggar semua norma antarabangsa" dengan tujuan untuk "menggagalkan usaha menghentikan genosid di Gaza."
Beliau menuduh Israel menyerang pelbagai negara Arab dan Islam dengan alasan mempertahankan diri, sambil mengkritik sokongan Barat terhadap tindakan Israel. Pezeshkian menegaskan perlunya perpaduan Arab dan Islam menentang Israel dengan menyatakan bahawa "tiada satu pun negara Arab atau Islam yang selamat daripada serangan Israel."
Presiden Maldives Mohamed Muizzu turut mengecam serangan itu dengan menyifatkannya sebagai "pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar" dan "serangan biadap" ke atas maruah seluruh dunia Arab dan Islam.
Beliau menegaskan Qatar, sebagai perantara utama dalam usaha damai Gaza, wajar diberi pengiktirafan bukannya hukuman, dan memberi amaran bahawa dengan menyerang Doha, Israel berusaha "menggagalkan usaha damai serta menggugat kestabilan rantau ini."
Muizzu menggesa pemimpin Israel dipertanggungjawabkan atas jenayah perang melalui langkah politik, ekonomi dan diplomatik yang bersepadu, selain menyeru bantuan kemanusiaan segera dihantar ke Gaza dan Tebing Barat.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pula menggesa PBB menggantung keahlian Israel serta mencadangkan penubuhan pasukan petugas Arab-Islam bagi menangkis "rancangan peluasan kuasa."
"Kempen pembunuhan beramai-ramai Israel telah meratakan Gaza hingga menjadi runtuhan dan kehancuran. Dunia akan sentiasa menanggung parut daripada pertumpahan darah tiada berkesudahan ini yang terukir pada jiwa kemanusiaan. Ketidakadilan sudah sampai ke tahap tidak tertanggung. Ini mesti dihentikan! Dan hentikan sekarang," katanya.
Shehbaz turut menggesa "penubuhan Pasukan Petugas Arab-Islam untuk mengambil langkah berkesan menangkis rancangan peluasan Israel," sambil mengulangi tuntutan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya keahlian Israel dalam PBB digantung.
"Majlis Keselamatan PBB mesti segera menuntut Israel, di bawah Bab VII Piagam PBB, melaksanakan gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan, pembebasan tebusan serta pertukaran tahanan Palestin," tambahnya.
Beliau juga menuntut akses kemanusiaan yang "terjamin, berterusan dan selamat" kepada semua penduduk Gaza yang memerlukan serta perlindungan terhadap petugas bantuan, kakitangan perubatan dan wartawan.
Bangladesh dalam kenyataannya menyifatkan serangan Israel ke atas wilayah berdaulat Qatar sebagai tidak bersebab dan tidak boleh diterima, malah sebagai penghinaan terhadap maruah seluruh umat Islam.
Bangladesh menganggap pencerobohan itu sebahagian daripada tindakan melulu Israel yang terus mengabaikan Piagam PBB, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi PBB, dan menyeru semua anggota OIC mengambil langkah diplomatik, politik dan ekonomi bersepadu untuk menghalang provokasi dan pencerobohan Israel seterusnya.
Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md. Touhid Hossain menghadiri sidang kemuncak luar biasa Arab-Islam di Doha itu.
Menteri Luar Indonesia Sugiono pula berkata isu Palestin "bukan hanya mengenai Palestin, tetapi mengenai kelangsungan negara kita, maruah rakyat kita dan kesucian undang-undang antarabangsa."
"Indonesia percaya bahawa sidang ini bukan sahaja perlu mengeluarkan kecaman bersama terhadap Israel, tetapi juga menggesa Majlis Keselamatan PBB melaksanakan mandatnya dengan mengambil langkah tegas dan segera bagi memastikan akauntabiliti serta mencegah berulangnya serangan," katanya.
"Kita tidak boleh lari daripada punca sebenar iaitu penjajahan haram Israel ke atas Palestin. Bagi Indonesia, jalan ke arah keamanan berkekalan tidak berubah: penubuhan sebuah Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, berdasarkan resolusi PBB yang berkaitan.
"Kami akan terus berdiri teguh bersama Qatar, bersama Palestin, dan bersama semua negara yang menjunjung undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan," tambahnya.
-- BERNAMA

#negara Islam Asia
#desak ambil tindakan
#serangan Israel
#Qatar
#Masoud Pezeshkian
#Mohamed Muizzu
#Shehbaz Sharif
#sidang kemuncak