DUNIA

Negara Islam lancar program khas sokong Syria

Bernama 03/11/2025 | 15:06 MYT
Erdogan, yang mempengerusikan COMCEC, berkata sokongan dunia Islam amat penting dalam memastikan perpaduan politik dan keutuhan wilayah negara itu. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Isnin mengumumkan pelancaran satu program khas bagi menyokong Syria di bawah Jawatankuasa Tetap bagi Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Erdogan, yang mempengerusikan COMCEC, berkata sokongan dunia Islam amat penting dalam memastikan perpaduan politik dan keutuhan wilayah negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Menerusi program ini, yang akan menyumbang kepada pengukuhan keupayaan manusia dan institusi, kami akan menyediakan sokongan projek kepada Syria dalam bidang seperti latihan, pertukaran pakar, analisis keperluan dan kajian kebolehlaksanaan.

"Selama hampir 14 tahun, saudara-saudara kita di Syria telah membayar harga yang amat besar; hampir sejuta rakyat Syria terkorban akibat serangan rejim Baath dan kumpulan pengganas.

"Jutaan lagi terpaksa berpindah, termasuk 3.6 juta ke Turkiye. Sepanjang tempoh ini, kami menerima pelarian Syria dengan semangat hospitaliti," katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri COMCEC ke-41 pada Isnin di Istanbul.

Beliau berkata Turkiye telah berusaha menunaikan tanggungjawabnya sebagai saudara dan jiran sebaik mungkin.

Erdogan menegaskan bahawa Turkiye terus menyokong rakyat Syria dalam pelbagai bidang termasuk pengangkutan, pendidikan, keselamatan, perdagangan, kesihatan dan perkhidmatan sosial.

"Sokongan pertubuhan kita dan dunia Islam amat penting bagi memastikan perpaduan politik, keutuhan wilayah dan kemakmuran berpanjangan untuk saudara-saudara kita di Syria.

"Penyepaduan Syria dengan ekonomi serantau akan membawa manfaat nyata kepada Syria dan juga rantau kita," tambahnya.

-- BERNAMA



#negara Islam #Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan #Syria #COMCEC