INTERNATIONAL
Negara OPEC+ akan tingkatkan pengeluaran minyak sebanyak 411,000 BPD pada Jun - OPEC
OPEC turut memaklumkan, semua negara berkenaan akan membincangkan jumlah pengeluaran minyak bagi Julai pada mesyuarat yang dijadual diadakan pada 1 Jun. - Gambar fail
MOSCOW: Lapan negara OPEC+ yang melaksanakan pemotongan pengeluaran minyak secara sukarela, termasuk Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman, akan meningkatkan had pengeluaran minyak mereka sebanyak 411,000 tong sehari (bpd) pada Jun berbanding paras Mei, menurut kenyataan rasmi OPEC yang dikeluarkan pada Sabtu.
"Memandangkan asas pasaran semasa yang sihat, seperti yang digambarkan menerusi inventori minyak yang rendah dan selaras dengan keputusan yang dipersetujui pada 5 Disember 2024 untuk mengembalikan semula pengeluaran secara berperingkat dan fleksibel terhadap pelarasan sukarela sebanyak 2.2 juta tong sehari bermula 1 April 2025, lapan negara itu akan melaksanakan pelarasan pengeluaran sebanyak 411,000 tong sehari pada Jun 2025 daripada paras pengeluaran Mei 2025," menurut kenyataan itu.
Menurut laporan Sputnik/RIA Novosti, OPEC turut memaklumkan, semua negara berkenaan akan membincangkan jumlah pengeluaran minyak bagi Julai pada mesyuarat yang dijadual diadakan pada 1 Jun.
"Lapan negara OPEC+ akan mengadakan mesyuarat bulanan bagi menilai keadaan pasaran, pematuhan dan pelan pampasan. Mesyuarat seterusnya akan berlangsung pada 1 Jun 2025 bagi menentukan paras pengeluaran Julai," kata organisasi itu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak pada Sabtu menyeru negara anggota OPEC+ agar mematuhi pemotongan pengeluaran minyak dan pelan pampasan bagi pengeluaran berlebihan sebelum ini.
"Saya sekali lagi ingin menyeru semua negara agar membuat dan memastikan sumbangan yang seimbang untuk mencapai keseimbangan antara penawaran dan permintaan.
"Di sini, penting untuk menghormati paras pengeluaran yang ditetapkan dan memastikan jadual pampasan bagi kekurangan dalam pemotongan sukarela. Saya ulangi seruan ini," kata Novak kepada stesen penyiar Rossiya 24.
Dalam masa sama, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi global dijangka menurun pada 2025 berikutan perang perdagangan antara negara, yang turut akan menjejaskan permintaan minyak.
"Kita menyaksikan perang perdagangan antara negara dan penurunan pertumbuhan ekonomi. Menurut ramalan ramai penganalisis, pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini akan lebih rendah daripada unjuran awal dan ini turut akan memberi kesan kepada permintaan," kata Novak.
-- BERNAMA