[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Negara Teluk beri amaran terhadap perluasan pencerobohan Israel di Gaza

Bernama 11/08/2025 | 11:45 MYT
Blok Teluk mengecam tindakan Israel sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, agar bertindak tegas menghentikan pencerobohan ini. - Gambar/ Reuters
NEW YORK: Kuwait memberi amaran bahawa keputusan Israel untuk menawan sepenuhnya Semenanjung Gaza dan mengenakan kawalan penuh menandakan fasa baharu genosid serta menjadi ancaman langsung terhadap nyawa lebih dua juta penduduk Palestin, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).


Ringkasan AI
  • Kuwait memberi amaran bahawa rancangan Israel menawan sepenuhnya Semenanjung Gaza menandakan fasa baharu genosid dan menjadi ancaman langsung terhadap lebih dua juta penduduk Palestin serta menggagalkan prospek penyelesaian dua negara.
  • Blok Teluk mengecam tindakan Israel sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, agar bertindak tegas menghentikan pencerobohan serta menjamin perlindungan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
  • Kenyataan itu turut memuji usaha Qatar dan Mesir dalam mencapai gencatan senjata serta menolak pelanggaran berterusan Israel di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat termasuk penempatan haram, pengusiran paksa dan pencerobohan ke atas tapak suci.


Kuwait menegaskan langkah itu turut menggagalkan prospek penyelesaian dua negara.

Kenyataan terbabit disampaikan bagi pihak blok negara-negara Teluk, dibentangkan pada sesi tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad bagi membincangkan situasi di Timur Tengah termasuk isu Palestin.

Kuwait menegaskan semula pendirian prinsip blok Teluk dalam menyokong perjuangan Palestin serta menolak segala bentuk pendudukan dan penempatan haram, sambil menyuarakan kebimbangan dan kecaman keras terhadap keputusan Israel.

Kenyataan itu menyifatkan tindakan terbabit sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

Kuwait memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan berskala penuh ke atas Gaza bukan sahaja akan membahayakan rakyat Palestin, malah turut menggugat kestabilan seluruh rantau sehingga berpotensi mencetuskan keganasan dan ketegangan yang belum pernah berlaku.

Ia menegaskan pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan sedemikian, manakala masyarakat antarabangsa akan memikul kesan daripada sikap berdiam diri atau kegagalan untuk menghalang keadaan itu.

Blok Teluk menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, memenuhi tanggungjawab undang-undang, moral dan sejarah mereka.

Ia menyifatkan paparan berulang adegan genosid di hadapan mata dunia tanpa langkah pencegahan tegas sebagai "kegagalan berbahaya" sistem antarabangsa, yang mengancam menjejaskan peranan dan kredibiliti Majlis Keselamatan.

Ia menekankan keperluan mendesak untuk tindakan konkrit bagi menghentikan apa yang digambarkan sebagai pencerobohan kejam, memastikan perlindungan antarabangsa bagi rakyat Palestin, menjamin penghantaran bantuan kemanusiaan yang selamat dan berterusan, menyokong Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), serta menolak sebarang cubaan untuk melemahkan peranannya.

Kuwait memuji usaha berterusan yang diterajui Qatar dan Mesir, dengan kerjasama Amerika Syarikat bagi mencapai gencatan senjata segera dan menyeluruh, menamatkan pencerobohan Israel, melindungi orang awam, memudahkan pertukaran tawanan dan banduan, serta mewujudkan keadaan yang diperlukan bagi pemulangan penduduk yang dipindahkan.

Sehubungan itu, kenyataan itu mengulangi sokongan penuh Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terhadap usaha-usaha berkenaan serta komitmen untuk memperkukuh koordinasi dengan pihak serantau dan antarabangsa berkaitan bagi memutuskan kitaran keganasan serta menghidupkan semula proses politik yang serius demi memenuhi aspirasi sah rakyat Palestin.

Blok Teluk turut mengecam keras pelanggaran berterusan Israel di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat, termasuk perluasan penempatan haram, pengusiran dan pemindahan paksa, pencerobohan berulang ke atas tapak suci Islam dan Kristian, serta cubaan mengubah status sejarah dan perundangan yang sedia ada.

-- BERNAMA


#Genosid Gaza #negara teluk #kekejaman israel #Kuwait