Skip to main content

Dunia

Negara Teluk pertimbang projek paip pintas Selat Hormuz - Laporan

Sumber: BERNAMA
Krisis semasa telah mengukuhkan nilai strategik Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi, yang membawa minyak mentah ke pelabuhan Laut Merah Yanbu dan membolehkan eksport mengelakkan Hormuz sepenuhnya. - Bernama

ISTANBUL: Negara-negara Teluk mempertimbangkan semula projek saluran paip untuk memintas Selat Hormuz susulan konflik terbaharu yang menimbulkan semula kebimbangan berhubung pergantungan rantau itu pada satu daripada laluan minyak dan gas paling penting di dunia, lapor Anadolu Ajansi, memetik Financial Times pada Khamis.

Perbincangan itu mencerminkan peningkatan kebimbangan bahawa kawalan atau gangguan berpanjangan Iran di selat itu mungkin memberi kesan pada pengeksport Teluk, mendorong pegawai dan eksekutif industri untuk mempertimbangkan semula pilihan yang pernah dilihat sebagai terlalu mahal atau terlalu sukar untuk dilaksanakan.

Advertisement

Krisis semasa telah mengukuhkan nilai strategik Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi, laluan sepanjang 1,200 kilometer yang membawa minyak mentah ke pelabuhan Laut Merah Yanbu dan membolehkan eksport mengelakkan Hormuz sepenuhnya.

Seorang eksekutif kanan tenaga Teluk menyifatkan saluran paip itu "seperti idea genius" apabila difikirkan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Saudi Aramco Amin Nasser turut menekankan kepentingan saluran  itu, menyatakan ia ialah "laluan utama yang kami manfaatkan sekarang" di sebalik negara tersebut mempertimbangkan sama ada untuk mengembangkan lagi kapasitinya atau membangunkan laluan dan terminal eksport tambahan di pantai Laut Merah.

Menurut laporan itu kemungkinan pilihan jangka panjang termasuk koridor perdagangan yang lebih luas dari India melalui Teluk ke Eropah, manakala beberapa eksekutif berhujah bahawa saluran paip ke cawangan Mediterranean pastinya akan dibina.

Bagaimanapun, eksekutif industri memberi amaran bahawa halangan tetap serius. Christopher Bush, Ketua Pegawai Eksekutif Cat Group yang berpangkalan di Lubnan, berkata untuk membina saluran sama seperti saluan paip Timur-Barat Arab Saudi hari ini akan menelan belanja sekurang-kurangnya AS$5 bilion, manakala laluan yang lebih kompleks dari Iraq melalui Jordan, Syria atau Türkiye memerlukan hingga AS$15 bilion hingga AS$20.

Bush berkata risiko keselamatan di Iraq masih serius memberi contoh periuk api (bom) yang tidak meletup dan kehadiran militan, manakala laluan ke Oman akan berdepan cabaran kejuruteraan ketika merentasi padang pasir dan kawasan pergunungan.

Beliau juga berkata pertikaian politik mengenai pemilikan, operasi dan kawalan aliran akan merumitkan mana-mana rangkaian serantau.

Dalam masa terdekat ini, pilihan paling realistik adalah untuk menggembangkan infrastrukur sedia ada termasuk saluran paip Timur-Barat Arab Saudi dan laluan Abu Dhabi ke Fujairah, dan bukannya meneruskan sistem rentas sempadan baharu sepenuhnya.

Bush berkata penggubal dasar Teluk kini menganggap isu itu sebagai mendesak, sambil menambah: "Anda mempunyai banyak orang yang bijak meneliti semua ini sekarang. Ia ialah masalah besar."

Peperangan Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran dan ketegangan di Selat Hormuz menjejaskan aliran tenaga serantau, menyebabkan kebimbangan berhubung bekalan dan tekanan ke atas harga global.

Pada 2 Mac, Iran mengumumkan sekatan di jalan air strategik itu, memberi amaran ia boleh menyasarkan kapal yang transit tanpa penyelarasan dengan pihaknya.

Kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak global melalui selat itu setiap hari, dan rasa tidak selamat yang semakin meningkat telah melonjakkan harga minyak serta kos penghantaran dan insurans.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video