Usaha meningkatkan bantuan kemanusiaan untuk Syria mendapat sambutan menggalakkan selepas negara-negara teluk berjanji menyumbang sebanyak 900 juta dolar Amerika.

Janji itu dibuat oleh pemimpin-pemimpin negara Teluk dalam satu persidangan antara negara-negara penderma di Kuwait.

Emir Kuwait, Sheik Sabah Al-Ahmad Al-Sabah berjanji menyumbang 300 juta dolar Amerika dan disusuli dengan sumbangan daripada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, yang merupakan penyokong kuat kumpulan antikerajaan.

"Dari platform ini, saya menyeru ahli-ahli majlis keselamatan untuk memasukkan ke dalam minda dan hati nurani mereka penderitaan harian rakyat Syria dan penderitaan pelari, apabila kita membincangkan pembangunan tragedi manusia ini dan mengabaikan perbezaan kita apabila membuat mereka keputusan (mengenai isu Syria). "

Dengan jumlah sumbangan terbaharu itu, ini bermakna jumlah keseluruhan bantuan kewangan yang diperoleh mencecah 1.5 bilion dolar bantuan segera.

Bagaimanapun, sumbangan itu dijangka hanya dapat menampung keperluan untuk beberapa bulan yang akan datang.

Persoalan timbul sejauhmanakah sumbangan yang dijanjikan itu akan sampai kepada agensi bantuan yang dikendalikan pertubuhan bangsa bersatu sebelum diedarkan kepada golongan sasar.

Sebelum ini, timbul rungutan sumbangan masyarakat antarabangsa kepada Syria yang sepatutnya sampai selepas revolusi Arab masih belum direalisasikan.

Jumlah pelarian Syria dijangka mencecah 1 juta tahun ini jika konflik berdarah di syria berterusan.

Sementara itu, kumpulan pelarian Syria di kem pelarian Zaatari di Jordan mengalu-alukan kesediaan negara-negara teluk menyumbangkan dana untuk meringankan penderitaan rakyat syria.

Bagaimanapun, terdapat juga pelarian yang sangsi sama ada bantuan kewangan itu benar-benar dapat membantu meringankan beban hidup mereka.

Seorang pelarian yang dikenali sebagai Maamoun Al-Zu'bi percaya, keadaan untuk pelarian Syria tidak akan berubah di sebalik sumbangan daripada negara-negara Teluk kerana kekurangan mekanisme jelas untuk mengagihkan bantuan kewangan itu.

Maamoun juga skeptikal sejauh manakah kumpulan pelarian akan menerima bantuan kewangan yang dimaksudkan.

Kebanyakan pelarian turut melahirkan keinginan mereka untuk kembali ke Syria.

Keinginan itu disebabkan, keadaan kem pelarian yang cukup daif.

Kata Abdel Malik dari Daraa:"Kita akan kembali ke Syria kerana sejuk dan kelaparan. Tiada pemanas, tidak ada apa apa, dan cuaca sangat sejuk.”

Seorang lagi pelari dari Daraa, Obied Othman berkata: “Saya hendak kembali ke Syria sebab serangan ke atas (presiden Syria) Bashar (Assad) sana lebih bagus daripada sini. Di sini orang kelaparan dan sengsara akibat cuaca yang sejuk.”