[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Negara-negara Arab tutup ruang udara susulan serangan Iran ke atas pangkalan AS di Qatar

Bernama 24/06/2025 | 00:40 MYT
Kementerian Luar Qatar mengumumkan penutupan ruang udaranya bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di tengah-tengah situasi serantau yang semakin tidak menentu. - Gambar hiasan
ISTANBUL: Beberapa negara Arab menutup ruang udara mereka buat sementara waktu lewat Isnin sebagai langkah berjaga-jaga selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian Luar Qatar mengumumkan penutupan ruang udaranya bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di tengah-tengah situasi serantau yang semakin tidak menentu.
Jabatan Hal Ehwal Penerbangan Awam Bahrain turut mengesahkan penggantungan sementara aktiviti navigasi udara di ruang udara negara itu sebagai respons terhadap perkembangan semasa.
Di Kuwait, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam mengarahkan penutupan sementara ruang udara negaranya, menyebabkan Kuwait Airways menggantung semua penerbangan.Kementerian Pengangkutan Iraq juga menutup ruang udara negara itu termasuk kawasan selatan.
Syarikat penerbangan Oman Air dalam satu kenyataan memaklumkan, ia telah menggantung penerbangan ke dan dari Manama, Dubai, Doha dan Kuwait berikutan situasi semasa, serta memberi amaran tentang kemungkinan kelewatan penerbangan di seluruh rangkaiannya.
Sementara itu, EgyptAir mengumumkan pembatalan perkhidmatan antara Kaherah dan beberapa bandar di Teluk, dan memaklumkan bahawa operasi hanya akan disambung semula apabila situasi keselamatan mengizinkan.
Gelombang penutupan ruang udara berlaku selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin.
Serangan itu merupakan tindak balas kepada serangan terdahulu oleh AS pada Ahad yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear Iran - Fordow, Natanz dan Isfahan.
-- BERNAMA
#konflik Israel-Iran #negara-negara Arab #penutupan ruang udara #Iran lancar serangan #kemudahan nuklear Iran