Nekad potong jari kerana salah undi parti

Agensi
April 21, 2019 00:04 MYT
Pawan Kumar berkata, dia tersilap mengundi untuk Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam rakaman video yang telah menjadi tular. - Foto Agensi via Sinar Harian
Seorang pengundi di India nekad memotong jari telunjuknya hanya kerana dia tersalah mengundi.
Pawan Kumar berkata, dia tersilap mengundi untuk Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam rakaman video yang telah menjadi tular.
Menurutnya, dia mahu mengundi untuk Parti Serantau, namun keliru kerana terlalu banyak simbol pada mesin pengundian.
"Saya mahu undi gajah, tetapi tersalah mengundi bunga," ujarnya merujuk kepada simbol parti yang dipaparkan pada mesin pengundian bersebelahan dengan nama setiap calon.
Difahamkan, Kumar dari kasta Dalit menunaikan tanggungjawabnya di Bulandshahr di Uttar Pradesh di bawah peringkat kedua pengundian dalam pilihan raya umum pada Khamis lalu.
BJP menggunakan simbol bunga teratai manakala gajah digunakan sebagai simbol Parti Bahujan Samaj (BSP) yang bersekutu dengan dua parti serantau lain menentang parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Pengundian pada Khamis lalu merupakan perkara paling penting bagi parti serantau yang menguasai politik di negeri mereka selain berdepan saingan dengan ahli politik tempatan yang berkarisma.
Seramai 900 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya di India yang diadakan secara tujuh peringkat yang mana kiraan undi akan dilakukan pada 23 Mei depan. - Agensi
#India #mengundi #Narendra Modi #Perdana Menteri #pilihan raya india #pilihan raya umum #potong jari