Skip to main content

Dunia

Nepal keluar amaran banjir baharu, korban di sempadan Nepal-Tibet cecah 750

Banjir nepal
Amaran terbaharu itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa China memaklumkan kepada rakan sejawat mereka di Nepal mengenai peningkatan mendadak aliran air dari kawasan hulu sungai di dataran tinggi Tibet. -Gambar fail/AP
Advertisement

KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal mengeluarkan amaran kecemasan berhubung risiko banjir kilat berulang pada Ahad susulan peningkatan paras air di lembangan Sungai Bhotekoshi, lapor Independent.

Penduduk di daerah yang terjejas digesa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi selepas notis amaran awal dihantar terus ke telefon bimbit mereka sepanjang pagi Ahad.

Amaran terbaharu itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa China memaklumkan kepada rakan sejawat mereka di Nepal mengenai peningkatan mendadak aliran air dari kawasan hulu sungai di dataran tinggi Tibet.

Jumlah korban akibat bencana banjir kilat di sempadan Nepal dan Tibet kini meningkat kepada 750 orang, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan lebih 3,000 individu yang dilaporkan hilang.

Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) Nepal berkata angka kematian di negara itu meningkat kepada 734 orang dengan 2,498 lagi masih hilang, manakala pihak berkuasa China melaporkan 16 kematian dan 546 orang masih hilang di Tibet.

Kemusnahan besar terhadap infrastruktur utama termasuk jambatan konkrit dan jambatan gantung menyebabkan banyak komuniti pergunungan terputus hubungan, selain sistem bekalan elektrik tempatan yang masih lumpuh.

Sementara itu, pasukan penyelamat dan aset ketenteraan giat menjalankan operasi pembersihan runtuhan tanah di Lebuhraya Prithvi, yang merupakan laluan logistik utama untuk bekalan makanan dan bahan api ke Lembah Kathmandu.

Must Watch Video

Advertisement