KATHMANDU: Kira-kira 33,000 mangsa banjir di Nepal dijangka perlu ditempatkan semula dan tidak dibenarkan kembali ke kediaman asal apabila kawasan terjejas diisytiharkan sebagai zon bahaya, lapor Kyodo News.
Ketua Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, Dharam Raj Uprety berkata, kawasan yang mempunyai tanda paras banjir dan di sesetengah lokasi mencecah 13 meter lebih tinggi daripada paras sungai biasa, akan dikategorikan sebagai zon bahaya.
“Kami tahu terdapat kemungkinan berlaku bencana pada masa hadapan. Jadi, kami tidak mahu mengambil risiko lebih besar,” kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan Kyodo News awal minggu ini.
Beliau berkata, kira-kira 33,000 penduduk terjejas akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Menurut kerajaan Nepal, banjir dan aliran puing pada 26 Ogos yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet telah mengorbankan 1,451 orang.
Kira-kira 5,700 orang, termasuk lebih 600 warga asing, masih hilang di Nepal.
Uprety mengakui, ikatan sentimental penduduk terhadap tempat kelahiran dan kawasan yang didiami sepanjang hayat menjadi cabaran untuk meyakinkan mereka supaya berpindah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan daripada pihak berkuasa berkenaan, Jabatan Ukur dan kementerian berkaitan telah meninjau serta mengenal pasti kawasan lebih selamat berhampiran zon bahaya.
Langkah itu bertujuan membolehkan mangsa banjir berpindah ke penempatan selamat dan meneruskan kehidupan dengan bermaruah.
Operasi mencari di beberapa terowong daripada 12 projek hidroelektrik yang terjejas akibat aliran puing runtuhan itu kini memasuki peringkat akhir.
Pihak berkuasa bercadang menamatkan operasi berkenaan pada hujung minggu ini sebelum beralih kepada usaha pemulihan pascabencana.
“Peluang untuk menjumpai mangsa yang masih hidup amat tipis, malah hampir tiada,” kata Uprety.
Kerajaan turut memutuskan untuk menyalurkan bantuan segera kira-kira AS$2,600 atau 400,000 rupee Nepal kepada setiap keluarga sebagai geran perumahan.
Selain itu, setiap keluarga sehingga empat ahli akan menerima elaun bulanan AS$98 atau 15,000 rupee Nepal bagi menampung kos sara hidup dan sewa.
Bagi setiap ahli tambahan melebihi empat orang, bantuan tambahan sebanyak 2,000 rupee akan diberikan.
Awal bulan ini, kerajaan menganggarkan sebanyak AS$4.77 bilion diperlukan bagi pemulihan awal, namun Uprety berkata, jumlah sebenar dijangka meningkat.
Beliau berkata, anggaran awal itu tidak merangkumi kos pampasan yang perlu ditanggung kerajaan bagi tanah milik persendirian yang kini ditetapkan sebagai zon bahaya dan akan diambil alih kerajaan.
“Keperluan pemulihan akhir boleh dengan mudah mencecah dua kali ganda daripada anggaran awal,” kata beliau.
Nepal yang berdepan kekangan kewangan berharap sebahagian kos pemulihan itu dapat ditampung menerusi bantuan rakan pembangunan termasuk Jepun, China, India, Britain, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.
-- BERNAMA-KYODO