KATHMANDU: Nepal dan Bank Antarabangsa untuk Pembinaan dan Pembangunan (IBRD) iaitu unit pemberian pinjaman Kumpulan Bank Dunia, menandatangani perjanjian untuk meneroka penerbitan bon bencana.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan akses pantas kepada dana bagi negara tersebut sekiranya berlaku gempa bumi besar, menurut kenyataan institusi pembiayaan pembangunan global itu pada Khamis, lapor Xinhua.
"Perjanjian ini menandakan permulaan kerjasama untuk menilai bagaimana pasaran modal boleh menyokong strategi pengurusan risiko bencana yang lebih menyeluruh di Nepal," kata Bank Dunia dalam satu kenyataan.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada program bon bencana Kumpulan Bank Dunia, yang membantu negara-negara mengakses pasaran modal antarabangsa bagi memindahkan risiko bencana serta mendapatkan perlindungan kewangan terhadap ancaman bencana alam.
Pembayaran dana adalah berdasarkan parameter fizikal yang objektif seperti magnitud gempa bumi atau kelajuan angin ribut dalam zon geografi yang ditetapkan dan bukannya bergantung pada proses penilaian kerosakan pascabencana yang mengambil masa.
Mekanisme tersebut membolehkan dana disalurkan dengan segera untuk tujuan bantuan kecemasan.
Sebagai salah sebuah negara paling terdedah kepada bencana di dunia, Nepal sedang berusaha memperkukuh keupayaannya untuk bersiap sedia, menghadapi dan pulih daripada bencana alam pada masa hadapan melalui gabungan langkah pengurangan risiko, kesiapsiagaan dan perlindungan kewangan.
Perjanjian berkenaan ditandatangani susulan kejadian tanah runtuh dan banjir dahsyat pada 26 Ogos yang telah meragut hampir 1,500 nyawa manakala lebih 5,000 orang lagi belum ditemui.
Bencana itu turut memusnahkan komuniti, kediaman, kemudahan jana kuasa hidro, jambatan, jalan raya serta pelbagai infrastruktur lain.
Menurut laporan Anggaran Pantas Kerosakan Pascabencana Global) oleh Bank Dunia, kerosakan fizikal yang dialami dianggarkan bernilai AS$1.66 bilion.
-- BERNAMA-XINHUA