[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Nepal: Tentera komited kepada nilai demokrasi - Jurucakap

Bernama 11/09/2025 | 10:35 MYT
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 31 orang terkorban termasuk dua ditembak tentera pada Khamis. - Foto Reuters
ISTANBUL: Tentera Darat Nepal komited terhadap nilai dan norma demokrasi, dengan rundingan sedang dijalankan untuk menubuhkan kerajaan sementara, kata jurucakap tentera darat Brig Jen Raja Ram kepada Anadolu Ajansi pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Tentera Darat Nepal komited kepada norma demokrasi dan sedang berbincang untuk menubuhkan kerajaan sementara selepas kejatuhan kerajaan KP Sharma Oli akibat protes besar-besaran.
  • Protes dipacu generasi muda tercetus selepas larangan media sosial, yang kemudian ditarik balik; keganasan menyebabkan sekurang-kurangnya 31 maut dan 15,000 banduan melarikan diri.
  • Tentera fokus kekalkan undang-undang dan ketenteraman, sambil melindungi infrastruktur; nama bekas Ketua Hakim Sushila Karki disebut sebagai calon ketua kerajaan interim.


Kenyataan itu dibuat susulan protes besar-besaran yang digerakkan oleh generasi muda "Gen Z" sehingga menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri KP Sharma Oli.

Protes tercetus selepas kerajaan Oli menguatkuasakan larangan terhadap platform media sosial minggu lepas, berikutan desakan supaya syarikat multinasional berkenaan membuka pejabat di negara itu.

Namun, selepas protes melanda ibu negara Kathmandu pada Isnin, Oli meletakkan jawatan pada Selasa. Pada hari yang sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Ashok Raj Sigdel dalam perutusan khas menyeru rakyat bertenang dan mengutamakan dialog untuk mengelakkan keganasan.

Dalam kenyataan berasingan, tentera, agensi keselamatan dan birokrasi sivil menggesa penyelesaian aman ketika penunjuk perasaan menyerbu parlimen, pejabat presiden, mahkamah agung serta menyerang kediaman dan pejabat ahli politik.

Pada Selasa malam, tentera digerakkan ke seluruh negara, perintah berkurung dikuatkuasakan dan beberapa tangkapan dilakukan. Pasukan keselamatan turut merampas senjata.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 31 orang terkorban termasuk dua ditembak tentera pada Khamis, manakala ratusan cedera ketika cubaan melarikan diri daripada penjara digagalkan. Dianggarkan 15,000 banduan telah melarikan diri.

Bagaimanapun, Ram menegaskan fokus utama pasukan keselamatan adalah mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam.

"Ia bertujuan memudahkan kehidupan harian rakyat serta melindungi infrastruktur termasuk bangunan kerajaan," katanya.

Mengenai tuntutan penunjuk perasaan untuk menubuhkan kerajaan sementara, Ram berkata perbincangan dengan pelbagai pihak masih dijalankan. "Kami akan menamatkan rundingan secepat mungkin," katanya.

Sebahagian besar mangsa dalam keganasan terbaharu di Nepal adalah golongan belia.

Sebelum meletak jawatan, kerajaan Oli telah menarik balik larangan ke atas media sosial, dan ribuan orang mengadakan perbincangan dalam talian pada Rabu untuk memilih pemimpin interim.

Bekas Ketua Hakim Sushila Karki antara nama yang disebut untuk mengetuai kerajaan sementara itu.

-- BERNAMA





#Nepal #tunjuk perasaan #kerajaan sementara #Gen Z #KP Sharma Oli