BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyau mendakwa Hamas tidak mengemukakan sebarang cadangan baharu untuk pembebasan tebusan dan gencatan senjata dalam rundingan di Kaherah.

Kenyataan Netanyahu ini dibuat selepas media tempatan melaporkan beliau mengarahkan delegasi Israel untuk tidak meneruskan rundingan.

Dalam kenyataan sama, Netanyahu turut memaklumkan Israel tidak akan menyerah kepada tuntutan Hamas.

Beliau juga mendakwa pendirian Hamas akan membolehkan rundingan tersebut dilanjutkan.

"Minggu ini kami membebaskan dua tahanan dalam operasi tentera. Setakat ini 112 tahanan berjaya dibebaskan dengan kaedah tekanan ketenteraan dan rundingan. Ini juga adalah kunci pembebasan sebahagian besar tahanan kami.

"Sudah tentu, saya mahu Hamas menggugurkan semua tuntutan tidak berkaitan mereka dan apabila ini berlaku, rundingan ini boleh diteruskan," katanya.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan lebih 12,300 remaja dan kanak-kanak Palestin menjadi mangsa konflik tersebut.

Netanyahu berikrar akan meneruskan perang sehingga berjaya menghapuskan Hamas sepenuhnya dan semua tahanan berjaya dibebaskan.

Hamas sebelum ini berkeras menahan semua tebusan Israel sehingga Zionis setuju mengundurkan diri dari Gaza dan membebaskan tahanan Palestin.

Tuntutan ini bagaimanapun ditolak Netanyahu.