Israel mengundi pada Selasa dalam pilihan raya Parlimen yang dijangka akan menyaksikan Benjamin Netanyahu mengekalkan tampuk kuasa pemerintahan bagi satu penggal lagi.

Situasi ini memberi gambaran awal prospek pelan damai Palestin-Israel akan terus kabur.

Netanyahu dijangka akan memimpin Parti Likud menang biarpun pentadbirannya sebelum ini berdepan dengan krisis ekonomi yang mencetuskan protes rakyat besar-besaran tahun lalu.

Majoriti pengundi mengakui mereka akan mengundi Netanyahu kerana tidak nampak ada mana-mana parti atau pemimpin alternatif untuk merealisasikan aspirasi rakyat Israel.

Pentas pilihan raya kali ini menyaksikan Parti Likud membentuk pakatan dengan parti ultra-nasionalis, Yisrael-Beitenu.

Peningkatan kos sara hidup antara isu yang mendominasi kempen-kempen pilihan raya.

Walau bagaimanapun, Netanyahu dilihat berupaya meraih undi majoriti selepas pentadbirannya tampil dengan polisi-polisi yang mengurangkan beban rakyat.

Antaranya pentadbiran Tel Aviv memperkenalkan dasar untuk mengurangkan kos harga rumah yang kian meningkat.

Proses demokrasi kali ini melibatkan 5.5 juta pengundi berdaftar dan 32 parti politik bertanding untuk merebut 120 kerusi parlimen Knesset.