DUNIA

Netanyahu ikrar bawa pulang tebusan, bina semula komuniti di sempadan Gaza

Astro Awani 03/07/2025 | 23:50 MYT
Netanyahu berikrar membawa pulang semua tebusan serta membina semula komuniti di sempadan Gaza yang musnah sejak konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober 2023. - Foto REUTERS
NIR OZ: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis berikrar membawa pulang semua tebusan serta membina semula komuniti di sempadan Gaza yang musnah sejak konflik Israel- Hamas bermula pada 7 Oktober 2023.

Netanyahu berkata demikian ketika mengadakan lawatan pertama ke Kibbutz untuk meninjau kerosakan dan bertemu dengan keluarga tebusan, termasuk Einav, ibu kepada Matan Zangauker yang masih ditahan di Gaza.

"Saya berada di sini bersama isteri saya, Sara, di Kibbutz Nir Oz, menyaksikan sendiri kemusnahan, kehancuran, dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku. Bersama penduduk kibbutz, mereka yang terselamat dan mereka yang telah bebas dari tawanan.

"Anda dapat rasa hingga ke dasar jiwa betapa besar kesakitan ini, betapa dalam kesedihan yang dialami, dan trauma yang melanda seluruh komuniti dan masih lagi dirasai hingga kini.

"Saya merasai satu komitmen yang mendalam, pertama sekali, untuk memastikan semua tawanan kita dibawa pulang, kesemuanya. Masih ada dua puluh nyawa yang belum kembali, dan masih ada mangsa lain dan kita akan bawa mereka semua pulang," katanya.

Dalam pada itu, puluhan rakyat Israel turut berhimpun di luar Kibbutz mendesak Netanyahu agar memeterai perjanjian gencatan senjata demi membebaskan baki tebusan yang masih berada di Gaza.

Israel mendakwa, seramai 251 individu dilaporkan ditahan sejak konflik bermula yang turut mengorbankan kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam.

Sementara itu, serangan balas tentera Israel selepas itu telah mengorbankan lebih 57,000 rakyat Palestin selain menyebabkan lebih dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal, mencetuskan krisis kebuluran dan kemusnahan besar di wilayah tersebut.





#Benjamin Netanyahu #Gaza #gencatan senjata #Israel