Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Netanyahu kritik himpunan ratusan rakyat Israel desak perjanjian bebas tebusan, tamatkan perang Gaza

Agensi 17/08/2025 | 23:30 MYT
Penunjuk perasaan menyertai demonstrasi selepas keluarga tebusan menyeru mogok nasional bagi menuntut pembebasan semua tebusan dan menamatkan perang di Gaza, di Tel Aviv, Israel, pada Ahad. - Gambar Reuters
TEL AVIV : Ratusan ribu rakyat Israel berhimpun pada Ahad bagi menuntut kerajaan segera memeterai perjanjian pembebasan tebusan dengan Hamas serta menamatkan perang di Gaza.

Perhimpunan terbesar tercatat di Hostages Square, Tel Aviv dengan penganjur menyatakan rancangan kerajaan untuk menguasai Gaza City bakal mengancam nyawa kira-kira 20 tebusan yang masih ditahan Hamas.

Sebagai sebahagian daripada bantahan, mogok nasional sehari turut dilancarkan sehingga menutup jalan, pejabat dan universiti di beberapa kawasan.

Hampir 40 orang ditahan sepanjang demonstrasi itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengkritik protes berkenaan dengan alasan ia hanya akan “menguatkan pendirian Hamas” dan melambatkan usaha pembebasan tebusan.

Menteri sayap kanan, Bezalel Smotrich, pula menyifatkan tunjuk perasaan itu sebagai “kempen berbahaya yang menguntungkan Hamas”.

Tuntutan paling lantang datang daripada keluarga tebusan yang mahu perjanjian menyeluruh dan boleh dilaksanakan serta penghujung kepada peperangan.

Einav Zangauker, ibu kepada tebusan Matan dan figura utama Forum Keluarga Tebusan dan Hilang, menegaskan: “Kami menuntut hak kami - anak-anak kami. Kerajaan Israel telah menukar sebuah perang yang adil menjadi perang yang sia-sia.”

Beliau berkata demikian selepas sebuah video anaknya didedahkan. “Seluruh jiwa saya terbakar kerana Matan. Saya, dan seluruh negara, sedang melakukan segala yang termampu untuk kamu serta semua tebusan,” katanya.

Protes besar-besaran ini berlangsung seminggu selepas kabinet perang Israel memutuskan untuk menduduki Gaza City serta memindahkan penduduknya – langkah yang dikecam Majlis Keselamatan PBB.

Menurut pihak berkuasa Gaza, sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh akibat serangan udara Israel pada Sabtu.

Hamas pula mendakwa serangan berterusan menumpukan kawasan timur dan selatan Gaza City, khususnya Zeitoun.

Tentera Israel pada Ahad memaklumkan, pihaknya akan membenarkan semula agensi bantuan membawa masuk khemah ke Gaza bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan.

Israel merancang untuk memindahkan secara paksa sejuta penduduk Gaza City ke kem di bahagian selatan, namun belum memberikan jadual jelas bila tenteranya akan memasuki bandar itu.

Setakat ini, lebih 1.9 juta penduduk Gaza – hampir 90 peratus populasi – telah kehilangan tempat tinggal. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan kebuluran semakin meluas dengan laporan menyebut “senario terburuk” kelaparan sedang berlaku di wilayah berkenaan.

Peperangan di Gaza tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel serta mengakibatkan 251 dijadikan tebusan.

Sejak itu, serangan balas Israel telah meragut lebih 61,000 nyawa penduduk Palestin, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza yang disokong PBB. - Agensi





#Perang Israel-Hamas #rakyat Israel protes #Netanyahu kritik #krisis kebuluran #kebuluran Gaza