[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
DUNIA

Netanyahu mohon tangguh perbicaraan kes rasuah selepas disokong Trump

Agensi 26/06/2025 | 23:40 MYT
Netanyahu menghadiri perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Daerah Tel Aviv, Israel, pada 16 Disember 2024. - Gambar fail AP
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memohon mahkamah menangguhkan keterangannya dalam perbicaraan kes rasuah yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, susulan gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar kes itu dibatalkan sepenuhnya.
Permintaan Netanyahu itu dibuat menerusi satu pemfailan di mahkamah pada Khamis, dengan alasan beliau kini perlu menumpukan sepenuhnya kepada pengurusan hal ehwal keselamatan dan diplomatik susulan konflik dengan Iran serta situasi berterusan di Gaza.
“Mahkamah dengan hormatnya diminta membatalkan sesi pendengaran yang dijadualkan berlangsung dalam dua minggu akan datang, di mana Perdana Menteri dijadual memberi keterangan,” kata peguamnya, Amit Hadad dalam dokumen berkenaan.
Trump, dalam kenyataan terbaharunya menyifatkan perbicaraan terhadap Netanyahu sebagai “pemburuan sihir” dan menggesa ia dibatalkan serta-merta, atau Netanyahu diberikan pengampunan.
“Perbicaraan Netanyahu harus DIBATALKAN SERTA-MERTA, atau beliau diberikan pengampunan sebagai seorang wira hebat,” tulis Trump di platform Truth Social, sambil merujuk kepada dakwaan kemenangan bersama Israel dan AS ke atas Iran dalam konflik berdurasi 12 hari baru-baru ini.
Netanyahu kemudian mengucapkan terima kasih kepada Trump menerusi hantaran di platform X, dengan menyatakan penghargaan atas “sokongan ikhlas terhadap saya, Israel dan rakyat Yahudi.”
“Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan anda untuk menewaskan musuh bersama, membebaskan tebusan dan memperluaskan lagi lingkaran keamanan,” katanya sambil berkongsi tangkap layar kenyataan Trump.
Pemimpin politik Israel tidak senang campur tangan Trump
Sokongan terbuka Trump terhadap Netanyahu bagaimanapun mencetuskan kritikan dalam kalangan ahli politik Israel, termasuk dalam kalangan parti pemerintah sendiri.
Ketua Pembangkang, Yair Lapid berkata: “Kami menghargai Presiden Trump, tetapi beliau tidak seharusnya campur tangan dalam sistem kehakiman negara berdaulat.”
Ahli Parlimen Simcha Rothman yang juga pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Kehakiman Knesset dan anggota gabungan kerajaan Netanyahu, turut menyelar tindakan Trump.
“Presiden Amerika Syarikat tidak sepatutnya campur tangan dalam proses undang-undang di negara Israel,” katanya, walaupun menambah bahawa pengendalian kes Netanyahu “sedang mencalarkan imej Israel sebagai kuasa serantau dan global, menjadikannya seperti republik pisang.”
Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, sekutu sayap kanan Netanyahu, menyokong pandangan Trump dan menyifatkan perbicaraan itu bermotifkan politik.
Sementara itu, Menteri Luar, Gideon Saar turut menyifatkan perbicaraan yang diteruskan semasa negara sedang berperang sebagai “tidak masuk akal, terpesong dan bercanggah dengan prinsip keadilan.”
Netanyahu, yang kembali berkuasa pada akhir 2022, telah melakukan reformasi kehakiman yang dikritik kerana dilihat cuba melemahkan institusi perundangan.
Sejak perbicaraan bermula pada Mei 2020, Netanyahu telah berulang kali memohon penangguhan atas pelbagai alasan - termasuk perang di Gaza sejak April 2023, konflik dengan Lubnan dan kini ketegangan terbaharu dengan Iran.
Netanyahu, Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, menafikan sebarang salah laku dalam tiga kes berasingan yang dihadapinya, termasuk dakwaan menerima hadiah mewah bernilai lebih AS$260,000 daripada tokoh jutawan, sebagai balasan kepada bantuan politik dan keistimewaan media. - Agensi
#Benjamin Netanyahu #kes rasuah Netanyahu #Trump sokong Netanyahu #Netanyahu tangguh perbicaraan