DUNIA
Netanyahu sahkan pelan gencatan senjata di Gaza sedang dirangka

Netanyahu mengesahkan, Israel sedang merangka pelan gencatan senjata baharu bersama White House menjelang pertemuannya dengan Presiden Trump, hari ini. - Gambar fail AP
TEL AVIV : Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan, Israel sedang merangka pelan gencatan senjata baharu bersama White House menjelang pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini.
Pengumuman itu dibuat ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak supaya Israel menghentikan peperangan, khususnya ketika serangan darat dan udara di Gaza City masih diteruskan.
Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad melaporkan angka korban kini melebihi 66,000 penduduk Palestin sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Dalam pertemuan di White House, Trump dijangka mengemukakan cadangan baharu bagi menamatkan konflik.“Kami sedang usahakan perkara ini. Ia belum dimuktamadkan, tetapi kami kini bekerjasama dengan pasukan Presiden Trump, malah pada saat ini juga, dan saya berharap ia dapat direalisasikan,” kata Netanyahu dalam temu bual bersama Fox News Sunday.
Menurut pegawai Arab yang dimaklumkan mengenai kandungan cadangan tersebut, pelan 21 perkara itu antaranya merangkumi gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan dalam tempoh 48 jam, serta pengunduran berperingkat pasukan Israel dari Gaza.
Bagaimanapun, Netanyahu menegaskan, beliau tetap bertekad untuk menghancurkan Hamas sepenuhnya.
Namun, beliau turut mengulangi tawaran bahawa pejuang Hamas boleh meninggalkan Gaza sekiranya kesemua tebusan dibebaskan dan peperangan ditamatkan.
Tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin meningkat selepas beberapa sekutu Barat mengiktiraf negara Palestin, manakala Kesatuan Eropah sedang menimbangkan sekatan ekonomi selain cadangan boikot budaya dan sukan.
Walaupun Trump sebelum ini konsisten menyokong Israel, laporan terkini menunjukkan beliau mula menunjukkan tanda-tanda tidak sabar, terutama selepas Israel menyerang ibu pejabat kepimpinan politik Hamas di Doha, Qatar awal bulan ini – tindakan yang mengakibatkan rundingan gencatan senjata tergendala.
Dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat lalu, Netanyahu tetap bertegas bahawa Israel “mesti menyelesaikan misi” menentang Hamas, sambil menegaskan 48 tebusan masih ditahan di Gaza dengan sekitar 20 daripadanya dipercayai masih hidup. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami