BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tampil dalam satu rakaman video sedang menikmati secawan kopi dengan lagaknya bagi menepis khabar angin yang tular di Iran bahawa beliau telah maut atau cedera.
Video yang dimuat naik pada Ahad di akaun Telegram Netanyahu itu memaparkan beliau berada di sebuah kafe di pinggir Baitulmaqdis sambil berbual santai dengan seorang pembantunya.
Advertisement
Dalam rakaman tersebut, pembantunya bertanya mengenai khabar angin kematian yang tersebar di internet, sebelum Netanyahu menjawab secara berseloroh menggunakan permainan kata dalam bahasa Ibrani berkaitan perkataan “mati” ketika mencapai cawan kopinya.
Khabar angin mengenai kematian atau kecederaan Netanyahu sebelum itu dilaporkan dibincangkan oleh televisyen dan media milik kerajaan Iran, sebelum ia pantas tersebar dalam kalangan pengguna media sosial di negara itu.
Rakaman video berkenaan disahkan oleh Reuters berdasarkan imej arkib kafe tersebut yang sepadan dengan bahagian dalaman yang kelihatan dalam video.
Tarikh rakaman turut disahkan melalui beberapa video dan gambar lain lawatan Netanyahu yang dimuat naik oleh pihak kafe pada 15 Mac.
Sejak konflik antara Israel dan Iran tercetus pada 28 Februari lalu, Netanyahu dilaporkan hanya membuat beberapa lawatan ke lokasi yang terkena serangan peluru berpandu Iran.
Bagaimanapun, akses media ke lokasi-lokasi berkenaan adalah sangat terhad dan kebanyakan rakaman video diedarkan oleh pejabat beliau sendiri.
Netanyahu yang jarang memberi wawancara kepada media Israel atau mengadakan sidang media, sebelum ini mengadakan sidang media pertamanya sejak perang bermula menerusi pautan video pada 12 Mac.
Format yang sama turut digunakan beliau pada Jun lalu ketika konflik selama 12 hari antara Israel dan Iran.
Dalam masa yang sama, sekatan keselamatan kecemasan di Israel sejak perang dengan Iran bermula melarang perhimpunan awam.
Kebanyakan penduduk negara haram itu kini diarahkan berada di rumah atau berhampiran tempat perlindungan serta bilik selamat, manakala sekolah di kebanyakan kawasan turut ditutup. - Agensi