DUNIA

New Caledonia diisytihar sebagai 'negara', namun kekal di bawah Perancis

Astro Awani 13/07/2025 | 02:50 MYT
Macron (tengah), Bayrou (kiri), dan Valls menghadiri mesyuarat bersama wakil rakyat serta pegawai kerajaan New Caledonia. - Foto AP
PARIS: Perancis dan New Caledonia pada Sabtu mengumumkan satu perjanjian bersejarah yang menyaksikan wilayah luar negara itu diiktiraf sebagai sebuah “negara” dalam kerangka perlembagaan Perancis, namun tetap kekal sebagai sebahagian daripada republik tersebut.

Perjanjian yang dimeterai selepas rundingan selama 10 hari di Paris memperkenalkan konsep “Negara New Caledonia” yang akan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Perancis.

Ia turut memperkenalkan kewarganegaraan New Caledonia, yang boleh digabungkan dengan kewarganegaraan Perancis.

“Negara New Caledonia dalam Republik: ini adalah pertaruhan kepercayaan,” kata Presiden Emmanuel Macron dalam kenyataan rasmi di platform X.

Menurut wakil anti-kemerdekaan Nicolas Metzdorf, tiada lagi referendum kemerdekaan akan diadakan kecuali satu untuk mengesahkan perjanjian ini.

Ini menandakan berakhirnya siri referendum sejak 2018 yang semuanya menolak kemerdekaan penuh.

Perjanjian ini hadir selepas rusuhan berdarah pada Mei 2024 yang tercetus akibat cadangan Perancis untuk meluaskan hak mengundi kepada penduduk bukan pribumi.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Kanak, yang bimbang akan kehilangan kuasa politik dan peluang untuk merdeka.

Perjanjian turut merangkumi pelan pemulihan ekonomi dan kewangan, termasuk usaha memperbaharui industri pemprosesan nikel yang menjadi tulang belakang ekonomi wilayah tersebut.

Rusuhan tahun lalu dilaporkan menyebabkan kerugian sebanyak €2 bilion (RM9.95 bilion) dan penurunan 10 peratus dalam KDNK wilayah.

Perjanjian ini masih memerlukan kelulusan kedua-dua dewan Parlimen Perancis pada suku keempat tahun ini, sebelum diserahkan kepada rakyat New Caledonia dalam satu referendum yang dijadualkan pada tahun 2026.





#New Caledonia #perjanjian bersejarah #Emmanuel Macron #negara