DUNIA

New Delhi kenakan langkah antipencemaran ketat selepas kualiti udara merosot

Astro Awani 11/11/2025 | 23:50 MYT
Kenderaan bergerak di atas jalan yang diselubungi jerebu tebal, di tengah-tengah pencemaran udara yang berterusan di New Delhi. - Foto REUTERS
NEW DELHI: New Delhi dan kawasan sekitarnya di India mula melaksanakan langkah antipencemaran yang lebih ketat bermula Selasa, susulan kemerosotan kualiti udara ke tahap “teruk”.


Ringkasan AI
  • New Delhi mengaktifkan Peringkat Ketiga pelan antipencemaran, melarang pembinaan tidak penting dan menyekat industri berasaskan bahan api pencemar selepas AQI melebihi 400.
  • Demonstrasi di India Gate menuntut udara bersih, sementara data satelit menunjukkan peningkatan kebakaran sisa tanaman yang menyumbang kepada pencemaran.
  • Asap tebal musim sejuk memerangkap pencemar, menjadikan Delhi antara bandar paling tercemar di dunia, menjejaskan lebih 30 juta penduduk.


Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara mengaktifkan Peringkat Ketiga Pelan Tindak Balas Berperingkat, berdasarkan trend semasa dan usaha mencegah pencemaran yang lebih parah.

Di bawah pelan ini, semua aktiviti pembinaan yang tidak penting diharamkan, manakala industri yang menggunakan bahan api pencemar dikenakan sekatan operasi.

Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat (CPCB) melaporkan bahawa Indeks Kualiti Udara (AQI) di beberapa stesen pemantauan New Delhi melebihi paras 400, jauh melebihi kategori “sangat teruk” berbanding bacaan sihat di bawah 50.

Langkah kecemasan ini turut menyusul selepas protes hujung minggu di India Gate, di mana puluhan penunjuk perasaan ditahan ketika menuntut udara yang lebih bersih, satu demonstrasi awam yang jarang berlaku terhadap isu pencemaran di ibu negara.

Data satelit kerajaan menunjukkan peningkatan kebakaran sisa tanaman sejak awal November, satu amalan lazim oleh petani untuk membersihkan tanah sebelum musim penanaman baharu.

Walaupun kebakaran ladang sering menjadi penyumbang utama pencemaran udara di utara India, kerajaan menyatakan jumlah insiden dari 15 September hingga 9 November 2025 adalah jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Setiap musim sejuk, Delhi dan kawasan sekitarnya diselubungi asap tebal apabila udara sejuk memerangkap pelepasan dari kenderaan, tapak pembinaan dan pembakaran sisa tanaman.

Keadaan ini menjadikan tahap pencemaran antara yang tertinggi di dunia, dengan lebih 30 juta penduduk terdedah kepada risiko masalah pernafasan.






#pencemaran udara #jerebu #masalah pernafasan #musim sejuk