Skip to main content

Dunia

New Mexico saman peguam, akauntan Epstein atas dakwaan lindungi jenayah seks

Pendakwa raya berkata Jeffrey Epstein mendera mangsa di Ladang Zorro miliknya di New Mexico dengan bantuan beberapa pembantu kanan yang dipercayai memainkan peranan penting dalam kegiatan tersebut. - Foto fail/AP
Pendakwa raya berkata Jeffrey Epstein mendera mangsa di Ladang Zorro miliknya di New Mexico dengan bantuan beberapa pembantu kanan yang dipercayai memainkan peranan penting dalam kegiatan tersebut. - Foto fail/AP

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pendakwa raya New Mexico memfailkan saman sivil terhadap Darren Indyke dan Richard Kahn atas dakwaan membantu menyembunyikan kegiatan pemerdagangan seks Jeffrey Epstein.
  • Kedua-dua individu itu merupakan pelaksana harta pusaka Epstein dan didakwa meraih keuntungan ketika mangsa masih menuntut keadilan.
  • Peguam mereka menafikan dakwaan tersebut, sementara saman ini difailkan berasingan daripada siasatan jenayah yang sedang dijalankan di New Mexico.

SANTA FE: Pihak pendakwa raya di negeri New Mexico memfailkan saman sivil terhadap peguam Darren Indyke dan akauntan Richard Kahn, dua pembantu lama mendiang pembiaya kontroversi Jeffrey Epstein, atas dakwaan membantu menyembunyikan kegiatan pemerdagangan seks yang dikaitkan dengan beliau, lapor BBC.

Menurut laporan itu, kedua-dua individu terbabit merupakan pelaksana tunggal harta pusaka Epstein yang bertanggungjawab menguruskan aset dan kekayaannya selepas kematiannya.

Peguam Negara New Mexico, Raúl Torrez, mendakwa mereka memainkan peranan penting dalam menyembunyikan penderaan yang berlaku di Ladang Zorro milik Epstein berhampiran Santa Fe dan terus meraih keuntungan ketika mangsa masih berusaha mendapatkan keadilan.

Beliau turut mendakwa aset Epstein yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$635 juta ketika kematiannya sepatutnya digunakan untuk membayar pampasan kepada mangsa dan bukannya memberi manfaat kepada individu yang didakwa membantu melindungi kegiatan jenayah tersebut.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Indyke dan Kahn, Daniel Weiner, menolak dakwaan berkenaan dan berkata kedua-duanya tidak pernah mengetahui atau membantu kegiatan penderaan seksual serta pemerdagangan wanita yang dilakukan Epstein.

Menurut BBC, saman itu difailkan berasingan daripada siasatan jenayah yang sedang dijalankan semula di New Mexico sejak Februari lalu.

Torrez berkata kematian Epstein pada 2019 tidak seharusnya menamatkan usaha untuk mengenal pasti dan membawa ke muka pengadilan individu yang didakwa membantu melindungi kegiatan jenayah tersebut.

Epstein meninggal dunia di penjara pada Ogos 2019 ketika menunggu perbicaraan atas pertuduhan pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak.

 

 

Must Watch Video

Advertisement