New York bergelap bukan kerana ancaman pengganas - Datuk Bandar

Saraya Mia
Julai 15, 2019 06:06 MYT
Bandar New York bergelap sejak jam 6.47 petang Sabtu. -Reuters
Gangguan bekalan elektrik yang melanda sebahagian besar bandar New York, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu bukan disebabkan ancaman pengganas.
Menurut Reuters, kerajaan dan pihak berkuasa walau bagaimanapun belum dapat mengenal pasti punca insiden yang berlangsung selama hampir lima jam.
Datuk Bandar New York, Bill de Blasio ketika bercakap kepada media mengesahkan kejadian tiada kaitan dengan serangan pengganas atau siber.
“Kami perlukan sedikit masa untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu berlaku,” kata Blasio.
Gangguan bekalan elektrik itu dilapor menjejaskan rutin harian 73,000 penduduk bandar yang terkenal jolokan 'Kota yang Tidak Pernah Tidur' itu.
Antaranya perkhidmatan kereta api bawah tanah dan juga persembahan konsert artis terkenal yang terpaksa dihentikan.
Bekalan elektrik yang mencetuskan panik di bandar itu kembali pulih awal pagi Ahad.
Dilaporkan kejadian seperti ini pernah berlaku pada tarikh sama 40 tahun lalu.
#ancaman pengganas #Bill de Blasio #Datuk Bandar New York #gangguan bekalan elektrik #New York #rutin harian terjejas