Skip to main content

Dunia

New York dijangka haramkan kereta kuda bermula 2028

Rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan untuk undian pada 22 Oktober. - Foto X/Alexa Bless
Rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan untuk undian pada 22 Oktober. - Foto X/Alexa Bless

Advertisement

Ringkasan AI

  • Majlis Bandaraya New York dijangka meluluskan larangan perkhidmatan kereta kuda bermula Jun 2028, dengan sokongan Datuk Bandar dan majoriti ahli majlis.
  • Larangan dicadangkan susulan kematian remaja dan kebimbangan terhadap kebajikan kuda serta risiko keselamatan awam di Central Park.
  • Pemilik dan pemandu kereta kuda akan dibantu melalui pelan peralihan termasuk penempatan pekerjaan baharu, latihan kemahiran dan pampasan kewangan.

NEW YORK: Majlis Bandaraya New York dijangka meluluskan larangan ke atas perkhidmatan kereta kuda bermula Jun 2028, dengan langkah itu turut mendapat sokongan datuk bandar bandar raya berkenaan.

Cadangan undang-undang itu dikemukakan susulan kematian seorang remaja yang terjatuh daripada kereta kuda di Central Park tahun ini, selain kebimbangan berterusan mengenai kebajikan kuda yang digunakan dalam industri tersebut.

Speaker Majlis Bandaraya New York, Julie Menin, berkata rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan untuk undian pada 22 Oktober.

Beliau menyatakan bahawa walaupun kereta kuda telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah bandar raya itu, peningkatan jumlah pengunjung di Central Park menjadikannya satu risiko keselamatan awam yang semakin membimbangkan.

Menurut beliau, majlis bandaraya akan mengambil tindakan tegas untuk melindungi penduduk, pelancong dan haiwan yang terlibat menerusi pengundian tersebut.

Rang undang-undang yang dikenali sebagai Undang-Undang Romanch, sempena nama remaja yang maut dalam kemalangan itu, dilaporkan mendapat sokongan majoriti ahli majlis.

Pejabat Datuk Bandar turut mengesahkan pentadbiran bandar sedang menyediakan pelan peralihan bagi membantu pemilik dan pemandu kereta kuda yang terjejas sekiranya larangan itu dilaksanakan.

Pelan tersebut merangkumi peluang penempatan pekerjaan baharu, latihan kemahiran, kaunseling kerjaya dan pampasan kewangan kepada mereka yang bergantung kepada industri berkenaan.

Rang undang-undang itu juga melarang kuda-kuda terbabit dijual untuk disembelih atau digunakan semula dalam kegiatan yang sama.

Ini bukan kali pertama pihak berkuasa New York cuba menamatkan penggunaan kereta kuda, yang sekian lama menjadi tarikan pelancong di bandar raya itu.

Bekas Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, pernah mencadangkan pengharaman industri tersebut selepas memegang jawatan pada 2014 dengan alasan kebajikan haiwan, selain mengusulkan penggunaan kenderaan elektrik vintaj sebagai alternatif.

Namun, cadangan itu akhirnya digantikan dengan peraturan yang mengehadkan lokasi pengambilan penumpang.

Pada Jun lalu, Romanch Mahajan, 18, yang melawat New York dari India, maut selepas terjatuh daripada sebuah kereta kuda apabila haiwan yang menarik kenderaan itu tiba-tiba meluru.

Bapanya, Deepak Mahajan, kemudian memberitahu majlis bandaraya bahawa beliau tidak mampu menggambarkan ketakutan yang dialami ketika kejadian itu berlaku.

Dalam satu lagi insiden tahun ini, seekor kuda kereta kuda bernama Dennis mati di Central Park selepas memakan tumbuhan beracun.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan pekerja termasuk Transport Workers Union membantah larangan itu.

Kesatuan berkenaan berkata ia mewakili kira-kira 300 pemandu dan pemilik kereta kuda serta menegaskan haiwan-haiwan itu dijaga dengan baik, selain industri tersebut menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan individu.

Tahun lalu, Central Park Conservancy, pertubuhan bukan untung yang menguruskan taman berkenaan, menyatakan sokongan terhadap usaha mengharamkan kereta kuda.

Organisasi itu berpendapat peningkatan jumlah pengunjung ke tahap rekod menjadikan larangan tersebut isu kesihatan dan keselamatan awam yang perlu diberi perhatian.

 

 

Must Watch Video

Advertisement