DUNIA
New York perketat kawalan keselamatan di tapak agama, budaya dan diplomatik
NYPD turut mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan agensi persekutuan dan pemimpin komuniti bagi memantau sebarang potensi risiko. - Foto X/@BehizyTweets
NEW YORK: Pihak berkuasa New York meningkatkan kehadiran polis di lokasi-lokasi sensitif termasuk tapak keagamaan, kebudayaan dan diplomatik susulan ketegangan global yang semakin memuncak berikutan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Datuk Bandar Eric Adams mengarahkan NYPD untuk memperhebat rondaan di seluruh lima borough, termasuk di rumah ibadat, konsulat asing dan pusat komuniti.
“Kami mengambil langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan semua penduduk New York,” kata Adams dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa tiada ancaman khusus dikesan setakat ini.
NYPD turut mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan agensi persekutuan dan pemimpin komuniti bagi memantau sebarang potensi risiko.
“Kami menambah kehadiran di lokasi Yahudi, Israel dan lain-lain tapak penting sebagai langkah berjaga-jaga,” menurut kenyataan rasmi NYPD.
Langkah ini diambil selepas serangan udara besar-besaran dilancarkan ke atas kemudahan nuklear Iran, yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan komuniti tertentu di AS.
Gabenor New York, Kathy Hochul, turut mengumumkan peningkatan kawalan keselamatan dan siber di seluruh negeri, sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau adalah “menjaga keselamatan rakyat New York”.
Sementara itu, komuniti Yahudi dan Muslim di kawasan seperti Brooklyn dan Queens dilaporkan telah meningkatkan kawalan keselamatan dalaman dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan rumah ibadat masing-masing.