DUNIA
New Zealand hasrat perkukuh hubungan dengan ASEAN, Sidang Kemuncak ke-50 dijadual Oktober
Menteri Luar New Zealand, Winston Peters berkata sidang khas itu dirancang bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan Malaysia pada Oktober nanti. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: ASEAN dan New Zealand yang meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dialog tahun ini, akan memperingati detik bersejarah itu menerusi Sidang Kemuncak Peringatan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada penghujung tahun ini.
Menteri Luar New Zealand, Winston Peters berkata sidang khas itu dirancang bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dipengerusikan Malaysia pada Oktober nanti.
Beliau menyifatkan sambutan ulang tahun ke-50 itu sebagai tempoh yang sangat bermakna, khususnya buat New Zealand, dan menegaskan komitmen negaranya untuk terus bekerjasama dengan ASEAN demi menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
"ASEAN memainkan peranan penting dalam menyokong rantau Indo-Pasifik yang aman, stabil dan makmur serta menjadi rakan setia New Zealand selama lima dekad. New Zealand komited untuk meningkatkan pelaburan dalam hubungan dengan Asia Tenggara.
"Sebab itulah kami sedang mengusahakan satu Perkongsian Strategik Komprehensif bersama ASEAN yang bersifat signifikan, substantif, saling menguntungkan dan mencerminkan peranan New Zealand sebagai rakan jangka panjang kepada ASEAN," katanya dalam temu bual bertulis bersama Bernama.
Peters, yang mengetuai delegasi negaranya ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang berakhir minggu lalu di sini, turut mengulangi sokongan kukuh New Zealand terhadap peranan ASEAN dalam mengekalkan kestabilan serantau, serta berikrar memperdalam kerjasama dengan blok itu.
Beliau berkata kuasa menghimpun dan kepimpinan mantap ASEAN amat penting dalam mengemudi cabaran geopolitik semasa dan peranan itu jelas terserlah sepanjang mesyuarat berlangsung, termasuk kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.
Menurut Peters, penglibatannya dalam siri mesyuarat peringkat tinggi itu tertumpu kepada isu strategik yang mempengaruhi kestabilan rantau serta usaha memperkukuh kerjasama demi keselamatan dan kemakmuran, selaras dengan aspirasi "ASEAN Community Vision 2045: Our Shared Future".
New Zealand menjadi rakan dialog ASEAN pada 1975, menjadikannya rakan dialog kedua tertua dalam kalangan negara luar ASEAN.
Pada 2015, hubungan dua hala itu dipertingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik.
Vietnam kini bertindak sebagai penyelaras hubungan dialog ASEAN-New Zealand.
Jumlah dagangan dua hala antara ASEAN dan New Zealand mencecah NZ$27 bilion (kira-kira US$15.9 bilion) pada 2024.
Mesyuarat AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai lalu di bawah Pengerusi ASEAN Malaysia telah menghimpunkan lebih 1,500 delegasi dan menampilkan 24 sesi peringkat menteri.
-- BERNAMA