Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

New Zealand perkenal visa baharu tarik pelaburan, bakat

Bernama 27/08/2025 | 15:26 MYT
BIV akan menyediakan laluan ke taraf pemastautin bagi migran perniagaan yang bersedia melabur, mengendalikan serta mengembangkan perniagaan sedia ada di New Zealand. - Gambar hiasan/Adobe Stock
WELLINGTON: Kerajaan New Zealand pada Rabu mengumumkan pengenalan satu jenis visa baharu bagi menarik pelaburan serta bakat untuk membantu mengembangkan ekonomi negara itu, lapor Xinhua.

Menteri Imigresen New Zealand Erica Stanford dalam kenyataan mengumumkan Business Investor Visa (BIV).

"BIV akan menyediakan laluan ke taraf pemastautin bagi migran perniagaan yang bersedia melabur, mengendalikan serta mengembangkan perniagaan sedia ada di sini," kata Stanford.

"Visa baharu ini akan membawa masuk pelaburan luar bagi mengekalkan dan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta memberi nafas baharu kepada perniagaan sedia ada di seluruh negara," tambahnya.

BIV, yang akan dibuka untuk permohonan pada November 2025, menawarkan pilihan pelaburan bernilai NZ$1 juta dan NZ$2 juta dengan laluan ke taraf pemastautin.

Visa baharu ini direka khusus untuk usahawan berpengalaman dengan modal untuk dilaburkan serta kemahiran mengurus bagi mengendalikan perniagaan yang berjaya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan New Zealand menjangkakan jenis visa baharu ini akan membawa manfaat ekonomi sebenar kepada negara.

BIV adalah sebahagian daripada perubahan lebih luas kerajaan New Zealand terhadap dasar visa perniagaan, di samping visa Active Investor Plus yang dikemas kini, bagi menarik pelaburan dan bakat.

Menurut agensi data rasmi kerajaan Stats NZ, kadar pengangguran suku tahunan di New Zealand mencecah 5.2 peratus pada suku Jun, manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan susut 1.1 peratus pada suku Mac.

Keuntungan migrasi bersih New Zealand bagi Jun 2025 ialah 13,700, berkurangan daripada 70,400 pada Jun 2024, dengan punca utama penurunan itu adalah kemasukan lebih rendah migran bukan warganegara New Zealand, menurut angka Stats NZ awal Ogos lalu.

-- BERNAMA

#New Zealand #visa baharu #pelaburan #bakat #ekonomi #Business Investor Visa #BIV