INTERNATIONAL
New Zealand tingkat perbelanjaan pertahanan susulan ketegangan serantau
Luxon berkata negara itu akan melabur NZ$12 bilion dalam tempoh empat tahun, sekali gus meningkatkan perbelanjaan pertahanannya berbanding hanya lebih satu peratus daripada KDNK kepada lebih dua peratus dalam tempoh lapan tahun. - Gambar fail/Reuters
WELLINGTON: New Zealand akan meningkatkan perbelanjaan pertahanannya dalam tempoh empat tahun akan datang bagi membina angkatan tentera yang "moden dan berkeupayaan tempur" susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu, kata Perdana Menteri Christopher Luxon pada Isnin, menurut agensi berita Jerman (dpa).
Luxon berkata negara itu akan melabur NZ$12 bilion (US$6.6 bilion) dalam tempoh empat tahun, sekali gus meningkatkan perbelanjaan pertahanannya berbanding hanya lebih satu peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada lebih dua peratus dalam tempoh lapan tahun.
"New Zealand serta sekutu dan rakan kongsi kami di seluruh dunia tidak lagi berada dalam persekitaran yang selamat," katanya pada sidang media.
Antara pelaburan utama yang diumumkan kerajaan termasuk meningkatkan keupayaan serangan, penggantian helikopter maritim, peningkatan peluru berpandu antikereta kebal dan teknologi angkasa baharu.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Judith Collins berkata pertahanan bukan sesuatu yang boleh disimpan sehingga saat diperlukan.
"Kerana apabila keadaan mendesak, kita memerlukan angkatan tentera yang bersedia dan dilengkapi untuk melaksanakan apa jua tugas yang diberikan, dan ia perlu dapat dilaksanakan serta-merta," katanya.
Katanya, jarak geografi juga bukan lagi perlindungan buat New Zealand.
"...Realiti ini memerlukan kita bukan sahaja bekerjasama dengan pihak lain yang berkongsi nilai dan kepentingan kita bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya konflik, tetapi juga untuk bersiap sedia sekiranya perkara terburuk berlaku," katanya.
-- BERNAMA