INTERNATIONAL

Nike naikkan harga minggu depan, kembali menjual di Amazon

Astro Awani 22/05/2025 | 00:00 MYT
Keputusan Nike untuk kembali ke Amazon dan menaikkan harga produknya berlaku di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan global akibat tarif yang dikenakan Trump. - Foto AP
NEW YORK: Nike akan menaikkan harga beberapa produknya mulai minggu depan dan kembali menjual di platform e-dagang Amazon buat pertama kali sejak 2019, menurut laporan media.

Syarikat itu, yang mendapatkan sebahagian besar bekalan kasutnya dari China dan Vietnam, akan menaikkan harga pakaian dan peralatan untuk orang dewasa antara AS$2 hingga AS$10, manakala kasut berharga antara AS$100 hingga AS$150 akan mengalami kenaikan sebanyak AS$5.

Kasut yang berharga lebih daripada AS$150 pula akan meningkat sebanyak AS$10, sementara produk di bawah AS$100 tidak akan mengalami perubahan harga.

Nike sebelum ini menghentikan penjualan di Amazon selepas dua tahun di platform tersebut, memilih untuk menjual terus kepada pelanggan melalui laman web dan kedai fizikalnya.

Namun, dengan persaingan yang semakin sengit daripada jenama baharu dan trend fesyen yang berubah, Nike kini berusaha mendapatkan semula bahagian pasaran dengan strategi baharu di bawah kepimpinan CEO Elliott Hill.

Amazon telah mengesahkan bahawa mereka akan mula menjual produk Nike dengan bekalan yang datang terus daripada syarikat itu.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Amazon akan melarang penjual pihak ketiga daripada menjual produk Nike tertentu mulai 19 Julai.

Keputusan Nike untuk kembali ke Amazon dan menaikkan harga produknya berlaku di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan global akibat tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, yang memberi kesan kepada keuntungan peruncit.

Nike dan Amazon belum memberikan komen rasmi mengenai langkah ini, tetapi pemerhati industri menjangkakan bahawa strategi ini akan membantu Nike meningkatkan jualan dalam tempoh mendatang.






#Nike #Amazon #naik harga #E-dagang