Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Nilai dagangan Rusia-EU pada September jatuh ke tahap terendah sejak 1999

Bernama 22/11/2025 | 09:12 MYT
Eksport Rusia ke EU merosot kepada 1.6 bilion euro pada September, berbanding 1.9 bilion euro pada Ogos.
MOSCOW: Nilai perdagangan antara Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) pada September susut ke paras terendah sejak Jun 1999, menurut analisis RIA Novosti berdasarkan data Pejabat Perangkaan Eropah (Eurostat).

Eksport Rusia ke EU merosot kepada 1.6 bilion euro pada September, berbanding 1.9 bilion euro pada Ogos. Pada masa sama, eksport EU ke Rusia pada September berjumlah 2.5 bilion euro, meningkat daripada 2.3 bilion euro pada Ogos.

Jumlah perdagangan Rusia-EU pada September menurun empat peratus berbanding Ogos kepada hanya 4 bilion euro. Kali terakhir paras itu lebih rendah ialah pada Jun 1999, iaitu 3.9 bilion euro.

Jerman kekal sebagai rakan dagang utama Rusia dalam EU. Pada September, nilai perdagangan Rusia-Jerman meningkat hampir 13 peratus kepada 657 juta euro.

Belanda merupakan rakan dagang kedua terbesar Rusia, dengan nilai perdagangan meningkat hampir satu perempat kepada 456 juta euro pada September.

Rakan dagang ketiga terbesar Rusia dalam EU ialah Perancis, yang mencatat penurunan lima peratus pada September kepada 399 juta euro.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI



#nilai perdagangan #Rusia #Kesatuan Eropah #EU #paras terendah