OSLO: Norway memasuki tempoh berkabung negara selepas keranda mendiang Raja Harald V dipindahkan ke Gereja Kecil Istana Diraja pada Isnin untuk upacara penghormatan terakhir sebelum pengebumian rasmi baginda pada 9 September ini.
Keranda mendiang raja diiringi anak-anak serta cucu-cucunya dalam satu perarakan penuh istiadat merentasi laluan di dalam Istana Diraja, menurut rakaman yang disiarkan televisyen negara itu.
Turut kelihatan dalam perarakan tersebut ialah Marius Borg Hoiby, anak tiri Raja baharu Norway, Raja Haakon VIII, yang kini dikenakan tahanan rumah sementara menunggu rayuan terhadap hukuman penjara empat tahun selepas disabitkan atas dua kes rogol.
Terdahulu pada Isnin, polis Norway mengesahkan Hoiby diberikan kebenaran khas untuk meninggalkan tahanan rumah bagi menghadiri upacara pengebumian diraja minggu depan.
Keranda Raja Harald V yang diselubungi panji diraja Norway sebelum ini ditempatkan di Bilik Negeri Red Salon sejak Jumaat lalu selepas dibawa dari Hospital Universiti Oslo, tempat baginda mangkat pada hari yang sama.
Istiadat pemindahan keranda ke gereja kecil istana itu mengulangi tradisi yang sama ketika ayahanda baginda, Raja Olav V, mangkat pada 1991.
Permaisuri Norway, Ratu Sonja serta menantu baginda, Ratu Mette-Marit, turut menyertai perarakan tersebut dengan berjalan di belakang keranda sambil berpegangan tangan.
Kerajaan Norway mengisytiharkan tempoh berkabung negara sehingga hari pengebumian berlangsung.
Orang ramai akan dibenarkan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Raja Harald V di gereja kecil istana bermula Selasa hingga 8 September.
Sepanjang 35 tahun pemerintahan baginda, Raja Harald V menikmati sokongan meluas rakyat Norway walaupun institusi diraja berdepan beberapa kontroversi membabitkan ahli keluarganya pada tahun-tahun terakhir pemerintahannya.
Pada Selasa, Raja Haakon VIII dijadual mengangkat sumpah taat setia di Parlimen Norway sebagai sebahagian daripada proses peralihan takhta.
Raja Haakon VIII dan Ratu Mette-Marit tidak dijangka ditabalkan secara rasmi kerana Norway telah memansuhkan istiadat pertabalan diraja sejak 1908.
Bagaimanapun, seperti ayahanda dan nendanya sebelum ini, Raja Haakon VIII berkemungkinan memilih untuk menjalani upacara pengesahan diraja di Katedral Trondheim, lokasi bersejarah pertabalan raja-raja Norway antara 1814 hingga 1906.
Raja Harald V dikenang sebagai lambang Norway yang terbuka, moden dan bertoleransi. Baginda turut dipuji kerana berjaya mengekalkan institusi monarki yang sederhana serta dekat dengan rakyat.
Dalam tahun-tahun terakhir pemerintahannya, baginda berdepan pelbagai masalah kesihatan yang memaksanya mengurangkan jadual rasmi.
Sejak 17 Ogos lalu, baginda menerima rawatan di Hospital Universiti Oslo akibat anemia hemolitik, iaitu keadaan yang menyebabkan sel darah merah musnah lebih cepat daripada kadar biasa sehingga mengakibatkan keletihan melampau dan sesak nafas. - Agensi