Skip to main content

Dunia

Norway kebimbangan, kesihatan Raja Harald V semakin merosot

FILE - Norway's King Harald gives a speech during a gala dinner at the Palace in connection with the state visit of the Icelandic presidential couple, in Oslo, on April 8, 2025. (Fredrik Varfjell/NTB Scanpix via AP, File)
Raja Harald yang menaiki takhta pada 1991 berdepan beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk menjalani pemasangan perentak jantung dan mengurangkan jadual rasmi. - Gambar fail/AP
Advertisement

OSLO: Norway berada dalam keadaan cemas dan penuh kebimbangan susulan kemerosotan kesihatan Raja Harald V, selepas Istana Diraja Norway mengumumkan keadaan kesihatan baginda yang kini berusia 89 tahun sebagai “amat serius.”

Keluarga diraja Norway dilaporkan berkumpul di sisi baginda di Hospital Universiti Oslo pada Khamis, manakala ratusan rakyat berhimpun di luar istana untuk memberikan penghormatan dan sokongan kepada raja yang amat disayangi itu.

Permaisuri Sonja serta Putera Mahkota Haakon, 53, yang kini menjalankan tugas sebagai pemangku raja, membatalkan semua urusan rasmi dan menghabiskan sebahagian besar hari tersebut bersama Raja Harald bersama ahli keluarga lain.

Pihak istana memaklumkan pada lewat petang Khamis bahawa keadaan baginda masih tidak berubah. 

Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Putera Mahkota Haakon, isterinya Puteri Mahkota Mette-Marit serta dua anak mereka dilihat meninggalkan hospital.

Bagaimanapun, penyiar nasional Norway, NRK melaporkan, pasangan diraja itu kembali semula ke hospital pada sebelah malam.

Raja Harald, pemerintah tertua yang masih bertakhta di Eropah, dimasukkan ke hospital sejak 17 Ogos lalu akibat anemia hemolitik, iaitu keadaan yang menyebabkan sel darah merah musnah dengan lebih cepat daripada kadar normal sekali gus mengakibatkan keletihan dan kesukaran bernafas.

“Keadaan kesihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja adalah amat serius,” menurut kenyataan istana tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Turut dilihat melawat baginda ialah Marius Borg Hoiby, anak Mette-Marit daripada hubungan terdahulu yang kini menjalani tahanan rumah selepas disabitkan kes rogol pada Jun lalu dan sedang mengemukakan rayuan. Adik perempuan Raja Harald juga dilaporkan hadir menziarahi baginda.

Image
People gather at Slottsplassen in connection with King Harald's worsening health condition, in Oslo, Norway, August 27, 2026. Heiko Junge /NTB/via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. NORWAY OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN NORWAY. NO RESALES. NO ARCHIVES.
Orang ramai berkumpul di Dataran Slottsplassen di Oslo, Norway, pada Khamis, sebagai menzahirkan kedukaan susulan keadaan kesihatan Raja Harald yang semakin merosot. - Gambar Reuters

Di pusat bandar Oslo, ratusan rakyat berkumpul di luar istana dengan ramai meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan kepada raja yang popular dalam kalangan rakyat Norway.

“Beliau ibarat datuk kepada seluruh Norway,” kata Trine Bakke Jord, 57, sambil mengesat air mata.

Menurutnya, beliau mengagumi sifat Raja Harald yang sentiasa merendah diri walaupun memegang kedudukan tertinggi negara.

Seorang lagi penduduk, Kaspara Bolstad, 24, menyifatkan Raja Harald sebagai pemerintah yang konsisten dan berjiwa rakyat.

“Saya rasa seluruh rakyat Norway melihat beliau sebagai contoh teladan dan individu yang menyatukan rakyat. Tidak kira sama ada seseorang itu menyokong atau menentang institusi monarki, beliau tetap disenangi ramai,” katanya.

Magnus Skaugseth, 27, turut memuji sifat inklusif baginda.

“Ketika dunia semakin berpecah dan berpolarisasi, baginda menjadi simbol perpaduan yang membawa mesej sebaliknya,” katanya.

Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store turut membatalkan lawatan kerja ke Jerman susulan perkembangan terbaharu kesihatan raja.

“Saya amat tersentuh dengan berita ini. Saya bersama seluruh rakyat Norway mengirimkan doa dan ingatan kepada Raja Harald serta seluruh keluarga diraja,” katanya.

Image
People gather at Slottsplassen in connection with King Harald's worsening health condition, in Oslo, Norway, August 27, 2026. Heiko Junge /NTB/via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. NORWAY OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN NORWAY. NO RESALES. NO ARCHIVES.
Rakyat berkumpul di luar istana dengan ramai meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan kepada raja yang popular dalam kalangan rakyat Norway. - Gambar Reuters

 

 

Tahun mencabar buat keluarga diraja

Raja Harald yang menaiki takhta pada 1991 berdepan beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk menjalani pemasangan perentak jantung dan mengurangkan jadual rasmi.

Namun, baginda berulang kali menolak sebarang cadangan untuk turun takhta dengan menegaskan sumpah yang dilafazkannya kepada Parlimen Norway adalah komitmen seumur hidup.

Pada Februari lalu, baginda pernah dimasukkan ke hospital di Tenerife, Sepanyol akibat jangkitan dan dehidrasi ketika bercuti secara peribadi bersama Permaisuri Sonja.

Permaisuri Sonja yang juga berusia 89 tahun pula dirawat seketika di hospital pada Mei lalu kerana masalah jantung.

Cabaran kesihatan keluarga diraja berlaku ketika institusi monarki Norway turut berdepan beberapa kontroversi.

Puteri Mahkota Mette-Marit antaranya menjadi perhatian selepas pendedahan mengenai hubungannya dengan pesalah seks Amerika Syarikat yang telah meninggal dunia, Jeffrey Epstein.

Dokumen yang didedahkan di Amerika Syarikat pada Januari lalu menunjukkan beliau pernah berhubung secara berterusan dan dalam beberapa keadaan bersifat rapat, dengan Epstein antara 2011 hingga 2014, ketika tokoh kewangan itu telah pun disabitkan kesalahan jenayah.

Dalam perkembangan berasingan, anaknya, Marius Borg Hoiby, dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada Jun lalu atas dua kes rogol, namun, beliau sedang merayu keputusan tersebut.

Mette-Marit sendiri berdepan masalah kesihatan serius selepas menghidap penyakit paru-paru kronik dan menjalani pemindahan paru-paru pada Julai lalu.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, institusi diraja Norway terus menikmati sokongan meluas rakyat dengan Raja Harald menjadi antara tokoh paling dihormati dan disayangi dalam sejarah moden negara itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement