DUNIA

NSW, Australia larang perhimpunan awam selama 2 minggu

Bernama 25/12/2025 | 13:00 MYT
New South Wales (NSW) melarang perhimpunan awam selama dua minggu selepas meluluskan undang-undang antiprotes yang kontroversi iaitu individu boleh diminta menanggalkan penutup muka. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales (NSW), melarang perhimpunan awam selama dua minggu selepas meluluskan undang-undang antiprotes yang kontroversi iaitu individu boleh diminta menanggalkan penutup muka, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri New South Wales (NSW), Australia melarang semua perhimpunan awam selama dua minggu susulan kelulusan undang-undang antiprotes baharu selepas insiden tembakan maut di Bondi Beach.
  • Undang-undang itu memberi kuasa kepada polis mengisytiharkan kawasan awam sebagai zon larangan perhimpunan serta mengarahkan individu menanggalkan penutup muka bagi tujuan keselamatan dan pengecaman.
  • Pelaksanaan undang-undang berkenaan mencetuskan kritikan dan cabaran perlembagaan daripada kumpulan hak asasi yang menyifatkannya mengekang kebebasan berhimpun dan bersuara.


Polis NSW berkata pihaknya kini diberi kuasa untuk mengisytiharkan sementara kawasan awam sebagai "terhad" daripada sebarang perhimpunan selepas parlimen negeri meluluskan undang-undang baharu pada Rabu, susulan kejadian tembakan yang meragut banyak nyawa pada 14 Dis di Bondi Beach, Sydney, ibu negeri New South Wales.

Sepanjang tempoh dua minggu itu, perhimpunan awam tidak dibenarkan dan sebarang perhimpunan awam akan dianggap sebagai dilarang, menurut kenyataan Polis NSW di laman sesawangnya pada Rabu.

"Kenyataan itu dibuat ... selepas mengambil kira undang-undang baharu dan implikasi keselamatan awam susulan protes lanjut selepas serangan pengganas di Bondi," menurut kenyataan itu.

Pengisytiharan itu akan dikaji semula dan boleh dilanjutkan setiap dua minggu sehingga tempoh maksimum tiga bulan. Polis juga boleh mengarahkan individu yang disyaki melakukan jenayah untuk menanggalkan penutup muka bagi tujuan pengecaman, katanya.

Dalam kes berasingan, pihak berkuasa Australia sedang menyiasat satu kes mengenai sebuah kenderaan yang mempunyai hiasan Hanukkah dibaling bom api di tenggara Melbourne pada awal pagi Khamis, Hari Krismas, menurut laporan ABC News.

Dalam insiden tembakan di Bondi Beach yang berlaku semasa acara Hanukkah, 15 orang maut dan 42 lagi cedera.

Seorang daripada dua suspek penembak maut, manakala seorang lagi cedera parah.

Di bawah pindaan undang-undang keganasan yang diluluskan oleh parlimen NSW, protes besar-besaran akan dihadkan, sekali gus melarang protes sehingga 90 hari.

Selain itu, di bawah undang-undang senjata api baharu yang diperkenalkan susulan kejadian tembakan itu, pemegang lesen rekreasi hanya dibenarkan memiliki maksimum empat senjata api dan pemilik perlu menjalani semakan lesen setiap dua tahun.

Bagaimanapun, kerajaan negeri NSW berdepan kritikan berhubung pelaksanaan undang-undang baharu itu.

Palestine Action Group Sydney, The Black Caucus dan Jews Against the Occupation '48 akan memfailkan cabaran perlembagaan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai "undang-undang antiprotes yang drakonian," menurut kumpulan Palestin itu dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

"Kerajaan (Premier NSW, Chris) Minns mengeksploitasi serangan mengerikan di Bondi untuk menjayakan agenda politik yang menekan perbezaan pendapat politik dan kritikan terhadap Israel serta menyekat kebebasan demokrasi," menurut kumpulan itu.

-- BERNAMA



#Australia #New South Wales #larang perhimpunan awam #undang-undang antiprotes