INTERNATIONAL

NUG umum gencatan senjata selepas gempa bumi di Myanmar

Bernama 30/03/2025 | 21:15 MYT
Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) memaklumkan "penggantungan semua operasi ketenteraan" akan dilaksanakan di kawasan yang terjejas akibat gempa bumi serta daerah berkaitan. - Gambar Reuters
BANGKOK: Susulan gempa bumi dahsyat di Myanmar, kerajaan bayangan pembangkang negara itu mengumumkan gencatan senjata sepihak selama dua minggu bermula Ahad, kecuali bagi operasi pertahanan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) memaklumkan, "penggantungan semua operasi ketenteraan" akan dilaksanakan di kawasan yang terjejas akibat gempa bumi serta daerah berkaitan.

Bagaimanapun, media melaporkan bahawa junta tentera Myanmar tetap meneruskan serangan terhadap kumpulan itu sejurus selepas gempa bumi melanda pada Jumaat.

Dalam wawancara bersama BBC, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar, Tom Andrews, menggesa junta untuk menghentikan semua operasi ketenteraan.

Setakat ini, jumlah kematian di Myanmar mencecah 1,644 orang, dengan lebih 3,400 cedera.

Namun, angka korban dijangka meningkat memandangkan kawasan yang terjejas padat dengan penduduk dan banyak bangunan runtuh.

-- BERNAMA



#NUG #gencatan senjata #gempa bumi #Myanmar #pembangkang