Kematian seorang jururawat Hospital King Edward VII selepas beberapa hari menerima panggilan palsu sebuah stesen radio Australia disifatkan sebagai satu tragedi.

Ketua menteri New South Wales, Barry O’Farrel berkata, kematian jururawat tersebut merupakan satu amaran kepada industri penyiaran.

“Adakah ianya publisiti yang kamu mahukan (untuk Sydney dan Australia)? Tentu tidak. Adakah kita akan melupakannya? Ya, tetapi ia tidak akan mengembalikan jururawat yang telah mengambil nyawanya sendiri disebabkan episod ini,” kata beliau.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan persekutuan akan menyiasat perkara tersebut.

Jacintha Saldanha, 46 tahun, yang telah bekerja sejak empat tahun lalu di hospital itu ditemui mati pada awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun, pihak polis menjelaskan mereka tidak menemui sebarang unsur yang mencurigakan.

Saldanha sebelum itu menjadi mangsa panggilan palsu stesen 2Day FM selepas Kate Middleton dimasukkan ke hospital itu kerana mengalami alahan teruk akibat mengandung.

Penyampai terbabit Mel Greig dan Michael Christian dilapor sanggup menyamar sebagai Ratu Elizabeth II and Putera Charles untuk bertanyakan kesihatan Kate.

Greg dan Christian bagaimanapun digantung tugas hingga ke satu tarikh yang ditetapkan pihak pengurusan 2Day FM.