Obama mahu kawal penggunaan senjata

Astro Awani
Disember 30, 2012 23:02 MYT
Presiden Barack Obama berikrar untuk melakukan apa yang terdaya bagi mengawal penggunaan senjata dan mengelak keganasan.
Beliau menegaskan bahawa perkara itu akan jadi antara keutamaan pentadbirannya sepanjang 2013.
Ia bagi memastikan insiden tembakan rambang yang membunuh 20 kanak-kanak di Tadika Sandy Hook baru-baru ini tidak berulang.
Obama menyatakan demikian dalam sesi temubual khas bersama televisyen NBC.
Tegas beliau, antara langkah yang akan diambil ialah pelaksanaan undang-undang berkesan seperti mengehadkan penggunaan senjata berbahaya.
Beliau dilihat skeptikal terhadap cadangan Persatuan Raifal Kebangsaan yang mahu pengawal bersenjata diletakkan di kawasan sekolah bagi tujuan keselamatan.
Tragedi tembakan di Newtown, Connecticut itu berlaku ketika keluarga mangsa sudah melakukan persiapan untuk bercuti pada hujung tahun.
Selain 20 kanak-kanak, enam orang dewasa iaitu kakitangan Tadika Sandy Hook turut terkorban.
Tembakan rambang itu dilakukan oleh Adam Lanza yang kemudian bertindak membunuh dirinya sendiri.
#Adam Lanza #Barrack Obama #Connecticut #Sandy Hook