SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
DUNIA

OIC adakan mesyuarat tergempar Isnin bincang rancangan Israel duduki semula Gaza

Bernama 22/08/2025 | 02:50 MYT
Menurut OIC, mesyuarat juga akan beri tumpuan kepada penyelarasan pendirian berhubung isu "genosid, kebuluran, pemindahan paksa, pengepungan dan malapetaka kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza."
ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar menteri-menteri luar pada Isnin bagi menyelaraskan tindak balas bersama terhadap rancangan Israel untuk menduduki semula sepenuhnya Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, blok yang berpusat di Jeddah itu berkata persiapan sedang dijalankan untuk sesi khas itu, yang akan membincangkan serangan berterusan Israel dan cubaan untuk "mengukuhkan pendudukan" di wilayah berkenaan.

OIC menyatakan mesyuarat itu juga akan memberi tumpuan kepada penyelarasan pendirian berhubung isu "genosid, kebuluran, pemindahan paksa, pengepungan dan malapetaka kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza."

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak usaha pengantaraan gencatan senjata dan sebaliknya mengarahkan tenteranya mempercepat pelaksanaan rancangan menduduki Bandaraya Gaza.

Rancangan itu, yang diluluskan pada 8 Ogos, menyeru supaya hampir sejuta penduduk dipindahkan ke selatan, mengepung Bandaraya Gaza dan melancarkan serangan darat ke kawasan kediaman penduduk.

Pada 11 Ogos, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas kejiranan Zeitoun di tenggara Bandaraya Gaza, menggunakan robot yang dipasang bahan letupan untuk merobohkan rumah, disokong oleh bedilan artileri dan pemindahan paksa, menurut saksi.

Israel telah membunuh hampir 62,200 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023.

Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan, yang kini menghadapi kebuluran.

November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu

-- BERNAMA

#oic #Gaza #Israel #Mesyuarat tergempar #Palestin