DUNIA

Opal Suchata Chuangsri dari Thailand raih gelaran Miss World 2025

Agensi 01/06/2025 | 01:40 MYT
Reaksi Opal Suchata Chuangsri sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai pemenang Miss World 2025 di Hyderabad, India, malam tadi. - Gambar Reuters
HYDERABAD: Wakil dari Thailand, Opal Suchata Chuangsri dinobatkan sebagai Miss World 2025 dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Hyderabad, India, malam tadi.

Chuangsri berjaya menewaskan 107 peserta lain dari seluruh dunia dalam edisi ke-72 pertandingan ratu cantik antarabangsa itu.

Berusia 21 tahun dan berasal dari Phuket, Chuangsari merupakan pelajar jurusan Sains Politik dengan pengkhususan dalam Hubungan Antarabangsa di Universiti Thammasat.

Jelitawan itu fasih berbahasa Thai, Inggeris dan Cina.

Pengalaman peribadinya menjalani pembedahan membuang tumor pada usia 16 tahun mendorongnya untuk melancarkan kempen kesedaran kanser payudara dalam kalangan belia, yang dikenali sebagai projek "Opal for Her."

Chuangsri mencipta sejarah dengan menjadi wanita pertama dari Thailand yang memenangi gelaran Miss World 2025.

Naib juara pertandingan itu dimenangi oleh wakil Ethiopia, Hasset Dereje Admassu.

Mahkota diserahkan kepada Chuangsri oleh Miss World 2024, Krystyna Pyszková.

Pertandingan tahun ini dikendalikan oleh Miss World 2016, Stephanie del Valle, bersama pengacara terkenal India, Sachiin Kumbhar.

India sekali lagi menjadi tuan rumah bagi pertandingan berprestij itu, selepas turut menjadi hos pada edisi sebelumnya.

Wakil negara tuan rumah, Nandini Gupta pula menamatkan saingan di peringkat 20 peserta terbaik.

India sebelum ini pernah melahirkan enam pemenang Miss World iaitu Reita Faria (1966), Aishwarya Rai (1994), Diana Hayden (1997), Yukta Mookhey (1999), Priyanka Chopra (2000) dan Manushi Chhillar (2017). - Agensi




#Miss World 2025 #Opal Suchata Chuangsri #ratu cantik antarabangsa #Aishwarya Rai #Priyanka Chopra