PEMIMPIN Pertubuhan Negara Pengeksport Petrolium (OPEC Plus) mengkritik gesaan badan tenaga antarabangsa untuk berhenti melabur dalam projek minyak dan gas baharu.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman menyatakan, inisiatif itu tidak realistik dan negaranya merancang untuk meningkatkan pengeluaran minyak di masa depan.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat panel di Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg pada Khamis.

Tambah Abdulaziz, Arab Saudi akan menghasilkan sekitar 9.4 juta tong minyak setiap hari pada bulan Julai.

Menteri Tenaga Qatar juga ragu-ragu dengan peralihan pelaburan daripada industri minyak dan gas dengan mengatakan ia boleh merugikan lebih dari satu bilion orang yang tidak mempunyai elektrik hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak pula berkata, menghentikan pelaburan akan menaikkan harga minyak hingga AS$200 setong dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran.

Kenyataan anggota OPEC Plus ttu menyusul kenyataan Badan Tenaga Antarabangsa sebelum ini bahawa tindakan segera perlu untuk membentuk semula sektor tenaga dunia bagi memenuhi perubahan iklim pada tahun 2050.

Ini termasuk menamatkan pelaburan di lombong arang batu, sumur minyak dan gas baharu.

Agensi berpusat di Paris itu dalam laporan dikeluarkan pada Selasa menyatakan, pihaknya mengakui terdapat cabaran dalam membangunkan sektor tenaga global dengan pelepasan gas rumah hijau dan sifar karbon menjelang 2050.