DUNIA
Operasi diperhebat, harga dadah murah di Sungai Golok tarik penagih Malaysia
Supeeyan berkata selain terkenal dengan kegiatan hiburan di malam hari, bandar itu kini turut menjadi lokasi utama penagih menyewa inap desa untuk melepaskan ketagihan. - Gambar Bernama
NARATHIWAT: Harga dadah yang jauh lebih murah di Sungai Golok telah menjadikan bandar sempadan itu sebagai tumpuan penagih, termasuk rakyat Malaysia terutamanya dari Kelantan, sekali gus mendorong pihak berkuasa Thailand memperhebat operasi bagi membanteras aktiviti sindiket di kawasan itu.
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata selain terkenal dengan kegiatan hiburan di malam hari, bandar itu kini turut menjadi lokasi utama penagih menyewa inap desa untuk melepaskan ketagihan.
"Walaupun majoriti penagih di Sungai Golok adalah penduduk tempatan, kami tidak menafikan bahawa rakyat Malaysia juga datang ke sini disebabkan hiburan dan harga dadah yang lebih murah.
"Dadah jenis methamphetamine dalam bentuk syabu dan pil yaba masih merupakan bahan yang paling banyak diseludup dari kawasan Segi Tiga Emas ke Bangkok, Songkhla, Narathiwat dan Sungai Golok sebelum dibawa masuk ke Malaysia," katanya kepada media Malaysia melalui penterjemah tempatan hari ini.
Supeeyan berkata harga pil yaba di sini adalah serendah 10 baht (RM1.40) sebiji, dengan beberapa laporan menyatakan ia boleh diperoleh pada harga serendah dua baht (RM0.30).
Sebaliknya di Malaysia, pil yang sama berharga RM5 dan boleh mencecah sehingga RM8 kerana risiko undang-undang, kos penyeludupan serta kekangan bekalan.
Beliau berkata bagi mengekang aktiviti sindiket, pihak berkuasa tempatan kini melaksanakan tiga hingga empat serbuan setiap minggu.
"Pendekatan kami jelas, 'Tiada Dadah, Tiada Pengedar'. Kami komited memerangi dadah sehingga ke akar umbi, seperti mana arahan pihak tertinggi di Bangkok. Kami percaya tanpa tindakan tegas, lebih banyak dadah akan diseludup ke Malaysia demi mengaut keuntungan besar," katanya.
Beliau berkata pada bulan lepas, pihak berkuasa berjaya merampas 615 kilogram syabu bernilai ratusan juta baht di kawasan Sungai Golok yang bersempadan dengan Lubok Gong, Rantau Panjang selain menahan beberapa suspek warga tempatan yang disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran.
-- BERNAMA