[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Operasi ketenteraan di Iran perlu dihentikan supaya IAEA dapat nilai keadaan - Ketua Pengarah

Bernama 23/06/2025 | 22:10 MYT
Rafael Grossi ketika hadir pada mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA di Vienna, Austria, 23 Jun 2025. (Foto AP)
BERLIN: Operasi ketenteraan di Iran perlu dihentikan supaya pemeriksa dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dapat memasuki kemudahan nuklear dengan selamat dan menilai keadaan di lapangan, lapor Agensi Berita Rusia (TASS) yang memetik Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi.
"Mesti ada penghentian permusuhan agar syarat keselamatan dan perlindungan yang diperlukan dapat dipenuhi supaya Iran membenarkan pasukan IAEA memasuki tapak berkenaan untuk menilai keadaan.
"Pemeriksa IAEA berada di Iran dan mereka sudah bersedia," kata Grossi pada mesyuarat tergempar Lembaga Gabenor IAEA.
Grossi berkata, penetapan fakta di lapangan adalah prasyarat bagi sebarang perjanjian, dan ini hanya boleh dicapai melalui pemeriksaan IAEA.
Beliau turut menyatakan Iran berhak mengambil langkah kecemasan untuk memastikan keselamatan kemudahan nuklearnya, namun langkah itu mesti dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab negara berkenaan kepada IAEA.
Grossi berkata, sebarang pemindahan bahan nuklear dan peralatan berkaitan di dalam Iran ke lokasi baharu harus disertakan dengan pemakluman kepada agensi berkenaan.
Menurut Grossi, pemeriksa IAEA terlebih dahulu perlu memeriksa status 400 kilogram uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus.
Ketua Pengarah IAEA itu juga berkata, Iran telah memaklumkan kepada agensi berkenaan mengenai rancangan untuk mengambil langkah khas bagi melindungi bahan dan peralatan nuklear sekiranya berlaku ancaman.
Grossi turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Iran atas kerjasama dalam memantau keadaan kemudahan nuklear negara itu, dan berterima kasih kepada badan-badan berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 22 Jun malam, tentera Amerika Syarikat menyerang tiga kemudahan nuklear di Iran: Fordow, Natanz dan Isfahan.
Presiden AS, Donald Trump berkata, Tehran seharusnya bersetuju untuk menamatkan konflik.
Sejak 13 Jun, Israel menyerang Iran setiap hari sebagai sebahagian daripada operasi menyasarkan program nuklear Iran.
-- BERNAMA
#konflik Israel-Iran #IAEA #Rafael Grossi #nuklear