JAKARTA: Operasi pembenihan awan atau ubah suai cuaca (OMC) Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah berdepan kekangan akibat jumlah awan yang sesuai terhad di beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera, ketika pihak berkuasa meneruskan usaha mengawal kebakaran di enam wilayah keutamaan.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata OMC tidak dapat dilaksanakan di Kalimantan Selatan berikutan ketiadaan awan yang sesuai, manakala operasi serupa di Jambi juga dijangka tidak dapat dijalankan susulan ramalan tiada potensi pertumbuhan awan hingga 10 Sept.
Di Kalimantan Barat, OMC terbatas berikutan jumlah awan yang sesuai agak rendah, walaupun 800 kilogram bahan pembenihan awan ditabur, jumlah sama yang digunakan dalam operasi di Kalimantan Tengah.
"Kami tidak menjalankan terlalu banyak operasi kerana situasi dan keadaan tidak mengizinkan, dengan jumlah awan yang sesuai agak sedikit di Kalimantan Barat," katanya pada sidang media secara dalam talian pada Khamis.
Di Riau, 2,000kg garam ditabur, sekali gus membantu menghasilkan hujan ringan hingga sederhana di Rokan Hulu, Rokan Hilir, Dumai dan beberapa kawasan di Bengkalis.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk mengawal kebakaran di enam wilayah keutamaan, dengan BNPB merekodkan 182 titik kebakaran, terdiri daripada 72 di Kalimantan Tengah, 46 di Kalimantan Barat, 31 di Kalimantan Selatan, 20 di Sumatera Selatan, tujuh di Jambi dan enam di Riau.
Pencemaran udara kekal pada tahap berbahaya di beberapa kawasan di Kalimantan, dengan Indeks Standard Pencemar Udara (ISPU) di Pontianak Tenggara, Kalimantan Barat, mencecah 1,026 pada 7.28 malam Khamis, bacaan tertinggi direkodkan di stesen pemantauan di seluruh negara.
Enam lokasi lain di Kalimantan Tengah merekodkan bacaan ISPU melebihi 300, yang diklasifikasikan sebagai berbahaya.
Berton berkata ramalan penyebaran bahan pencemar oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan kepekatan tinggi di Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan serta beberapa kawasan di Riau, Jambi dan Sumatera Selatan pada Khamis, namun keadaan di tiga wilayah Kalimantan itu dijangka reda pada Jumaat.
Jerebu turut menjejaskan negara jiran Malaysia, dengan Serian di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya iaitu 345 pada 9.30 pagi Khamis, manakala Sri Aman, Kuching, Samarahan dan Sarikei berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sarawak turut memulakan operasi pembenihan awan selama tiga hari pada Khamis yang menyasarkan empangan utama dan kawasan tadahan air, dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi itu turut bertujuan mengurangkan jerebu dan bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai serta keadaan atmosfera yang menggalakkan.
-- BERNAMA