[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Operasi penerbangan disambung semula di Qatar, Bahrain dan Kuwait

Bernama 24/06/2025 | 10:46 MYT
Ruang udara Qatar ditutup selama kira-kira empat jam setengah. - Gambar fail/AP
DUBAI: Qatar menarik balik sekatan ke atas ruang udaranya yang sebelum ini ditutup sejurus sebelum serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Udara Al-Udeid, lapor agensi berita Rusia TASS memetik laporan media tempatan.

Ringkasan AI
  • Qatar menarik balik sekatan ruang udaranya selepas empat jam setengah penutupan, yang dilakukan susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Udara Al-Udeid milik AS.
  • Bahrain, Kuwait dan dipercayai UAE turut menutup ruang udara buat sementara, namun semua negara tersebut kini telah menyambung semula operasi penerbangan awam secara berperingkat.
  • Lapangan terbang Dubai kembali beroperasi, tetapi beberapa penerbangan masih dijangka lewat atau dibatalkan atas faktor keselamatan dan pemulihan jadual penerbangan.

"Pihak Berkuasa Penerbangan Awam mengumumkan pemulihan semula trafik udara dalam ruang udara Qatar.
"Keadaan kini kembali normal selepas pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang perlu dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan," menurut kenyataan pengawal selia penerbangan negara itu.
Ruang udara Qatar ditutup selama kira-kira empat jam setengah.
Susulan pelancaran peluru berpandu oleh Iran, Bahrain dan Kuwait turut mengambil langkah menutup ruang udara masing-masing.
Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE), perkhidmatan pemantauan Flightradar melaporkan bahawa ruang udara negara itu juga secara efektif ditutup kepada penerbangan awam.
Sekitar 10.30 malam waktu tempatan (serentak dengan waktu Moscow), Bahrain dan Kuwait memaklumkan bahawa mereka menarik balik sekatan penerbangan masing-masing.
Sementara itu, lapangan terbang di Dubai turut mengumumkan bahawa operasi penerbangan disambung semula selepas ditangguh sementara.
Namun, beberapa penerbangan dijangka mengalami kelewatan atau pembatalan, menurut perkhidmatan media kerajaan emiriah.
-- BERNAMA
#konflik Israel-Iran #operasi penerbangan disambung semula #serangan iran #Pangkalan Udara Al-Udeid