Organisasi bantuan beri amaran lebih banyak 'kematian beramai-ramai' di Sudan

Seramai lebih 160,000 orang tinggal di dua kem pelarian di Pergunungan Nuba di Kordofan Selatan, yang dilawati Egeland minggu lepas. - Foto Norwegian Refugee Council
NAIROBI: Ketua Majlis Pelarian Norway (NRC) memberi amaran bahawa ribuan orang berdepan risiko kematian di wilayah Kordofan Selatan, Sudan, hanya beberapa bulan selepas kejatuhan bandar El Fasher di Darfur, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Ribuan orang di wilayah Kordofan Selatan, Sudan, berisiko kematian susulan kejatuhan bandar El Fasher di Darfur, menurut Ketua Majlis Pelarian Norway.
- Kumpulan militia mengepung bandar Kadugli dan Dalang, dengan kumpulan bersenjata Pasukan Sokongan Pantas (RSF) memutuskan laluan bekalan ke Kadugli, menyebabkan kelaparan.
- Rundingan untuk membawa konvoi makanan ke Kadugli gagal, sementara jumlah penduduk bandar yang terkepung tidak diketahui, menambah keperluan bantuan segera dalam situasi krisis kemanusiaan di Sudan.
Beliau berkata terutamanya di Kadugli, di mana kumpulan bersenjata, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah memutuskan semua laluan bekalan ke bandar itu selama berminggu-minggu, kelaparan kini berleluasa.
Jumlah penduduk yang berada di bandar yang terkepung itu buat masa ini tidak diketahui.
Seramai lebih 160,000 orang tinggal di dua kem pelarian di Pergunungan Nuba di Kordofan Selatan, yang dilawati Egeland minggu lepas. Mereka hampir keseluruhannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, memandangkan kaum lelaki tidak dibenarkan meninggalkan bandar yang dikepung itu.
Rundingan dengan RSF untuk membawa konvoi makanan ke Kadugli telah gagal. Memandangkan kekurangan dana dan musim hujan yang akan bermula pada Mei, ini merupakan perlumbaan dengan masa, kata Egeland.
Terdapat kira-kira 12 juta pelarian di Sudan, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia.
Bagaimanapun, nampaknya terdapat harapan untuk bandar-bandar yang terkepung itu, apabila seorang jurucakap tentera melaporkan bahawa pasukan kerajaan telah berjaya memecahkan kepungan di Kadugli dan Dalang.
Orang ramai yang bersorak meraikan anggota askar berkenaan dapat dilihat di media sosial. Aktivis Sudan turut mengesahkan ketibaan tentera kerajaan di kedua-dua bandar tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


