JAKARTA: Hujan lebat mencetuskan banjir besar di Padang, ibu negeri wilayah Sumatera Barat, Indonesia pada Sabtu, menyebabkan air sungai melimpah dan menenggelamkan kawasan kediaman di beberapa daerah.
Pemerintah Kota Padang memaklumkan hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa sungai melimpah, sekali gus menjejaskan kawasan kediaman di daerah Koto Tangah, Kuranji dan Nanggalo, lantas menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan bersama.
"Keutamaan serta-merta adalah untuk memindahkan mangsa dan memberikan bantuan kecemasan kepada semua penduduk yang memerlukan, di samping mengekalkan penyelarasan rapat dengan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) bagi sokongan lanjut," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) Berton Panjaitan berkata kira-kira 225 isi rumah terjejas akibat banjir berkenaan, menurut laporan Liputan6 pada Sabtu.
Beliau dipetik sebagai berkata angka itu masih merupakan data awal memandangkan penilaian di lapangan masih dijalankan, manakala maklumat mengenai kehilangan nyawa serta kerugian harta benda masih dalam proses pengesahan, dengan paras air belum surut setakat Sabtu malam.
Rakaman udara yang diterbitkan oleh agensi berita Antara menunjukkan sungai yang berarus deras dan berlumpur melimpah ke kawasan perumahan berhampiran di Lubuk Minturun, dengan banjir meluas menutupi jalan raya dan kawasan lapang, mengelilingi deretan rumah serta menyebabkan beberapa bangunan separa tenggelam.
-- BERNAMA