Pakar antarabangsa WHO ke China, bantu siasatan koronavirus

Agensi
Februari 10, 2020 00:29 MYT
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan penghantaran pakar antarabangsa ke China pada Isnin. -Gambar fail/Reuters.
SEKUMPULAN pakar antarabangsa yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dikerah ke Beijing, China pada Isnin bagi membantu siasatan epidemik novel koronavirus.
Ia susulan lawatan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ke negara tersebut serta hasil perbincangan dengan Presiden China, Xi Jinping bersama menteri-menterinya pada hujung bulan lalu.
Perjanjian yang dimeterai termasuk menghantar misi antarabangsa ke China.
Tedros menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya pada Isnin berkata beliau baru sahaja menghantar pasukan awal pakar-pakar antarabangsa WHO ke China.

Ive just been at the airport seeing off members of an advance team for the @WHO-led #2019nCoV international expert mission to #China, led by Dr Bruce Aylward, veteran of past public health emergencies.

— Tedros Adhanom Ghebreyesus (@DrTedros) February 9, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Saya baru sahaja berada di lapangan terbang menghantar pasukan pakar yang diketuai WHO ke China bagi melaksanakan misi antarabangsa.
"Veteran WHO, Dr Bruce Aylward, pakar kecemasan dan epidemiologis Kanada akan mengetuai misi antarabangsa itu," tulis beliau.
Pada Sabtu, Tedros berkata beliau berharap pasukan awal pakar itu turut melibatkan pakar-pakar dari Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).
Jumlah kematian akibat koronavirus di China terus meningkat melebihi angka korban akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).
Pada 30 Januari lalu, WHO mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan global selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat pertubuhan itu di Geneva.
Pengisytiharan itu dibuat sehari selepas kerajaan China mengumumkan sekatan keluar masuk (lockdown) terhadap penduduk di wilayah Hubei.
BACA: WHO isytihar koronavirus darurat kesihatan global
#Amerika Syarikat #Beijing #Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus #Januari #Pakar-pakar antarabangsa #Twitter #WHO #Xi Jinping