PAKAR perubatan mengenal pasti dua ubat sedia ada mampu menghalang virus SARS-CoV-2 punca penyakit COVID-19 daripada menjangkiti sel manusia.

Memetik laporan Harvard Medical School, kedua-dua ubat tersebut iaitu Vacuolin-1 dan Apilimod yang sudah dibangunkan sejak beberapa tahun lalu menyasarkan enzim ‘PIKfyve kinase’.

Kajian itu bagaimanapun hanya dijalankan ke atas sel manusia dalam ujian makmal dan perlu diuji pada manusia sekiranya ingin dipertimbangkan sebagai rawatan COVID-19.

Sebelum ini, pakar-pakar tidak mempunyai pengetahuan luas tentang peranan enzim ‘PIKfyve kinase’ berhubung jangkitan COVID-19.

“Hasil kajian kami mendapati menyasarkan kinase ini terhadap SARS-CoV-2 secara anti-virus bermolekular kecil mungkin strategi efektif bagi mengurangkan tahap keparahan COVID-19,” kata penyelidik Tomas Kirchhausen.

Kirchhausen, profesor biologi sel di Institut Blavatnik di Harvard Medical School, menemukan ubat Vacuolin-1 itu 16 tahun lalu.

Beliau bersama kumpulan penyelidiknyya sebelum ini mendapati kedua-dua ubat tersebut berkesan dalam menghalang virus Ebola, namun tidak menerbitkan kajian mereka.

Apabila Amerika Syarikat dilanda COVID-19, mereka menguji keberkesanan ubat-ubat tersebut pada virus SARS-CoV-2.

“Dalam tempoh seminggu, kami mendapati Apilimod sangat efektif dalam mencegah jangkitan SARS-CoV-2 pada sel manusia dalam makmal,” kata Kirchhausen.

Pada lewat Julai, syarikat yang membangunkan ubat Apilimod, AI Therapeutics mengumumkan akan menjalankan kajian baharu bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat itu ke atas 140 pesakit positif COVID-19.